Malaysia komited dalam perlindungan lapisan ozon dan iklim bumi melalui ratifikasi pindaan Kigali

Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

PUTRAJAYA– Malaysia telah meratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal mengenai Bahan Penipis Lapisan Ozon di bawah Konvensyen Vienna bagi Perlindungan Lapisan Ozon.

Menteri Alam Sekitar dan Air , Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, instrumen bagi ratifikasi ini telah dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpusat di New York, Amerika Syarikat pada 21 Oktober 2020 melalui Kementerian Luar Negeri.

“Ratifikasi ini menunjukkan komitmen negara dalam melindungi alam sekitar khususnya lapisan ozon dalam menangani perubahan iklim.

“Pindaan Kigali ini telah berkuatkuasa mulai 1 Januari 2019. Sehingga kini, 110 buah negara telah meratifikasi pindaan tersebut termasuk Malaysia,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, objektif utama Pindaan Kigali adalah bertujuan untuk mengurangkan (phase￾down) penggunaan hidroflorokarbon (HFC) bagi membantu mengurangkan kesan perubahan iklim.

” HFC mempunyai Potensi Pemanasan Gobal (GWP) yang tinggi iaitu sehingga 14,800 kali ganda berbanding karbon dioksida (CO2) Pindaan ini telah dipersetujui semasa Mesyuarat Parti Protokol Montreal Ke-28 yang telah diadakan pada 15 Oktober 2016 di Kigali, Rwanda.

“Di bawah Pindaan Kigali, Malaysia perlu mengurangkan penggunaan HFC sebanyak 80% daripada garis asas (baseline) pada tahun 2045.

“Penggunaan HFC akan dibekukan berdasarkan garis asas di Malaysia bermula pada 1 Januari 2024. Sejak awal tahun 2017, Kerajaan telah memulakan konsultasi mengenai ratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal bersama pihak yang berkepentingan termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan industri yang akan terkesan daripada pelaksanaan pengurangan penggunaan HFC,”katanya.

Beliau berkata, industri yang terlibat termasuk sektor penyejukbekuan dan penyaman udara, sektor pemadaman api, sektor pelarut dan sebagainya

“Dalam hal ini, kejayaan pelaksanaan pengurangan penggunaan HFC di bawah
Pindaan Kigali dijangka dapat membantu mengurangkan kesan pemanasan global.

“Adalah dijangkakan pelepasan gas rumah kaca yang bersamaan dengan 105 juta tan metrik gas karbon dioksida (CO2 equivalent) dapat dielakkan menjelang tahun 2100 sekaligus mengelakkan peningkatan suhu global sebanyak 0.5° Celcius,”katanya.

Menurutnya, ratifikasi ini akan membawa manfaat kepada negara termasuk akses perdagangan dengan negara-negara parti lain.

“Sokongan kewangan di bawah
Dana Pelbagai Hala (MLF) dan bantuan teknikal kepada industri tempatan
untuk beralih ke teknologi rendah karbon alternatif yang terkini.

“Ini membuka peluang kepada industri tempatan untuk menghasilkan produk yang lebih kompetitif dan mampu bersaing di peringkat global pada masa akan datang,”katanya.

Tuan Ibrahim berkata, penyertaan Malaysia di dalam Pindaan Kigali ini adalah testimoni kepada usaha berterusan negara dalam bersama-sama dengan komuniti global bagi menangani isu dan cabaran alam sekitar ke arah pembangunan yang lebih lestari.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.