Perangai orang Melayu tarik pemuda India peluk Islam

KUALA KETIL– Sikap ramah orang Melayu menarik seorang remaja India memeluk Islam.

Bukan dipaksa atau dipujuk, Gobinathan A/L Gunalan atau kini Rahim Abdullah,19, memilih untuk masuk Islam dengan kerelaan hati sendiri.

Walaupun dibesarkan dalam keluarga menganut agama Hindu, namun hatinya disapa hidayah selepas melihat banyak kebaikan pada kaum Melayu.

Remaja berasal dari Cameron Highland Pahang itu menempuh jalan hidup yang tersendiri.

Selepas kematian ibu bapa ketika dia berusia 10 dan 11 tahun, dia dibesarkan oleh nenek.

“Bapa mati sebab banyak minum (arak) dan setahun kemudian mak pula mati akibat penyakit gastrik yang kronik.

“Jadi selepas kematian ibu bapa, neneklah yang besarkan saya. Pada usia 14 tahun saya dihantar ke rumah anak yatim di Kulim,”katanya dalam wawancara khas dengan Rentas7.com.

Khamis lalu, Rahim pernah bersiar secara langsung di FB Rentas7.com. selama hampir 15 minit.

Rahim berkata, pada usianya 16 tahun dia bertekad keluar dari rumah anak yatim berkenaan bagi hidup berdikari sebelum membawa diri ke Kuala Ketil.

“Saya datang ke Kuala Ketil selepas mendapat tahu ada satu kerja kosong di sebuah bengkel di Kampung Batu 3.

“Tokeynya India dan bukan beragama Islam. Sepanjang saya kerja saya banyak bergaul dengan orang-orang Melayu.

“Mereka amat ramah, baik dan jujur. Alhamdulillah, daripada situ buatkan saya terpikat nak tahu pasal Islam.

“Pada usia 18 tahun, saya telah memeluk Islam dan telah membuat pendaftaran saudara baru di Jabatan Agama Islam Negeri,”katanya.

Terima ugutan bunuh

Rahim yang kini menuntut ilmu di sebuah pondok agama di sini mengakui memeluk Islam berdepan ujian tersendiri setelah memeluk Islam.

Katanya, dia menerima tentangan hebat dari nenek dan keluarganya.

Anak kedua daripada dua beradik itu berkata, masalah yang timbul bagaimanapun diatasi berkat dengan memohon bantuan daripada ALLAH.

Bahkan akui Rahim, dirinya pernah diugut bunuh, namun kuasa ALLAH mengatasi segala-galanya apabila dia selamat daripada sebarang ancaman.

Katanya, hidupnya kini merasakan satu ketenangan yang luar biasa berbanding sebelum memeluk Islam.

“Saya tak tahu nak gambarkan, tapi hati saya tenang. Saya dapat rasa dekat dengan ALLAH dan yakin ALLAH itu wujud.

“Jika ada kesukaran, saya akan berdoa kepada ALLAH. Alhamdulillah ALLAH bantu saya,”katanya.

Rahim berkata, dia kini sudah berjaya khatam Muqaddam dan dalam proses mempelajari ayat-ayat al-Quran.

“Alhamdulillah, saya dapat baca Surah Al Fatihah dan surah-surah lain dengan lancar dan baik.

“Guru di sini banyak membantu. Kos pengajian saya semuanya ditanggung pihak tahfiz,”katanya.

Walaupun baru mengenali Islam, anak bongsu daripada dua beradik itu mempunyai misi tersendiri.

Bersambung pada siri ke-2..

Rentas7.com

 

 

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.