Melaka benar solat jemaah 500 orang, arah qunut nazilah dan solat hajat

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR– Solat jemaah lima waktu dan solat Jumaat di Melaka dibenarkan maksimum 500 orang bermula esok.

Melaka juga menetapkan surau dan masjid mengadakan solat hajat dan membaca qunut nazilah selepas solat Jumaat selama tiga minggu mulai minggu ini.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, jumlah maksimum jemaah bagi masjid kerajaan adalah 500 orang, 250 orang jumlah maksimum bagi masjid kariah dan institusi manakala hanya 75 jemaah bagi surau.

Menurutnya, kesemuanya tertakluk kepada penjarakan fizikal satu meter.

“Bagi mendoakan keselamatan serta agar negeri Melaka dan Malaysia dilindungi daripada wabak penyakit, masjid dan surau dikehendaki mengadakan solat hajat dan qunut nazilah selepas solat Jumaat selama tiga minggu bermula daripada Jumaat pada 29 Januari,”katanya yang dipetik daripada Bernama hari ini.

Beliau berkata, kuliah Maghrib serta bacaan Yassin dan tahlil pada Khamis malam Jumaat turut dibenarkan.

Bagaimanapun katanya, penceramah dari luar Melaka belum dibenarkan berceramah dan berkuliah.

Sementara itu bagi urusan memohon kebenaran berkahwin, temu duga perkahwinan Islam, pendaftaran perkahwinan penceraian dan rujuk serta yang berkaitan akan dibuka melalui janji temu.

Beliau berkata, perkhidmatan khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan pula akandibuat dalam talian atau bersemuka melalui janji temu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.