Kedah dilanggar Siam 1821

Gambar hiasan

KEGEMILANGAN Kedah sebagai sebuah kerajaan Islam yang kuat dan dihormati ketika era Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II (1710-1778) gagal diteruskan oleh pemerintah lain selepas berakhirnya zaman baginda.

Hasil sentuhan Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II dengan kerjasama puteranya, Tunku Anjang, empayar Kedah diperluaskan hingga ke utara Thailand dan sempadan Burma (Myanmar).

Namun, atas beberapa faktor, negeri yang sebelumnya digeruni oleh lawan dan kawan ini akhirnya jatuh dan mudah ditawan oleh pihak musuh.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah, Datuk Wira Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, Kedah menerima tentangan begitu hebat oleh pihak musuh iaitu Siam dalam peristiwa serangan 12 November 1821 ketika diperintah oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II (1804-1845).

Menurutnya, sebelum peristiwa itu berlaku, Kedah sudah menghadapi tekanan daripada pihak Siam sewaktu pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah (1778-1797).

“Suasana politik Kedah ketika itu adalah Pulau Pinang dan Seberang Perai sudah dipajak kepada Inggeris. Tujuan pajakan itu kerana Kedah perlu kepada pertahanan yang kuat bagi menghadapi musuh.

“Pulau Pinang dipajak pada tahun 1786 manakala Seberang Perai dipajak pada tahun 1800. Dalam perjanjian pajakan itu, pihak Inggeris melalui Kapten Light bersetuju membantu Kedah hadapi Siam selain membayar wang pajakan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pihak Inggeris akhirnya bertindak melanggar perjanjian di antara kedua-dua pihak dan Sultan Abdullah ketika diancam Siam, tidak mendapat sebarang pertolongan dari Light sebagaimana dijanjikan.

Katanya, akibat penipuan itu, Sultan Abdullah Mukarram Shah bertekad mengambil semula Pulau Pinang dari Kapten Light dengan membuat persediaan ketenteraan.

“Angkatannya berhimpun di Seberang Perai, tetapi dalam masa Light lebih mengetahui hasrat Sultan Abdullah Mukarram Shah dan bertindak menghantar tiga buah kapal perang.

“Akhirnya angkatan Kedah ditewaskan di Seberang Perai dan Sultan Abdullah dipaksa untuk tanda tangani Perjanjian Damai pada 1 Mei 1791,” katanya.

Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, selepas tamat zaman tersebut dan ketika Kedah ditadbir pula oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II, pusat pemerintahan dari Alor Setar dipindahkan ke Kota Kuala Kedah kerana kota tersebut mempunyai pertahanan yang lengkap.

Menurutnya, pada zaman bagindalah, pihak Siam cuba melemahkan angkatan perang Kedah dengan memaksa Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II mengirimkan askarnya ke Pattani pada tahun 1809 bagi menghapuskan pemberontakan Pattani terhadap Siam.

“Berikutnya pada 1810 pula, Siam sekali lagi baginda menghantar armada Kedah ke Salang, kini dikenali sebagai Phuket di Thailand bagi membantunya menghadapi Burma.

“Dalam peperangan itu, Kedah menunaikan janji dan mereka paling berjaya menentang orang Burma di Salang berbanding wilayah–wilayah jajahan takluk Siam yang lain. Kesemua wilayah tersebut adalah di sekitar Segenting Kra dan mereka turut dipaksa untuk membantu,” katanya.

Katanya lagi, Kedah pula ketika itu berada di bawah pengaruh Siam walaupun masih belum ditakluk. Jika ingkar dengan arahan Siam, Kedah akan diserang,” katanya.

Wan Shamsudin berkata, kemuncak hubungan yang genting di antara Siam dan Kedah apabila Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dipaksa mengadap Raja Siam di Bangkok untuk diadili kerana musuh menuduh baginda membuat hubungan sulit dengan Burma.

Menurutnya, sultan menolak permintaan Siam itu dan kemudian bertindak meninggalkan kota Kuala Kedah bersama pengikutnya ke Pulau Tiga di pinggir Sungai Merbok.

“Pada 12 November 1821, kerajaan Siam mengarahkan kerajaan Ligor yang berada di bawah pemerintahannya untuk menyerang dan menakluk Kedah.

“Angkatan Ligor datang bersama-sama 100 buah kapal dan berlabuh tidak jauh di pintu hadapan pintu gerbang kota Kuala Kedah yang dikenali sebagai pintu gerbang kaca puri,” katanya.

Katanya, ketika musuh tiba, satu majlis perkahwinan di antara Putera Laksamana Kedah dan Putera Bendahara Kedah sedang berlangsung di dalam kota.

Menurutnya, ketika peristiwa berlaku pada hari Ahad dan waktu tengah hari itu, semua orang yang berada di dalam kota tersebut sedang bersuka ria meraikan majlis perkahwinan tersebut dan tidak menyedari ketibaan musuh.

“Sebelum Ligor menyerang, beberapa pihak musuh telah memasuki kota itu dengan membawa cecair timah yang dileburkan di atas kapal. Kemudian mereka tuang timah cair itu pada setiap lubang meriam di sekeliling kota pertahanan Kedah, cecair itu dibawa melalui perahu dari kapal mereka.

“Musuh palam kira-kira 500 pucuk meriam milik Kedah, serentak dengan itu musuh lain yang berada di luar masuk dan menyerang kota Kuala Kedah,” katanya.

Wan Shamsudin berkata, akibat pertahanan kota Kuala Kedah tidak bersedia, angkatan ketenteraan Kedah mudah ditewaskan oleh musuh.

Menurutnya, ramai yang terkorban dalam serangan itu termasuk tiga pembesar Kedah iaitu Temenggung, Laksamana dan Bendahara Kedah.

“Pada hari yang sama kota Kuala Kedah diserang, Langkawi dan Alor Setar juga diserang. Rakyat yang tidak sempat melarikan diri sewaktu berlaku serangan tersebut ditawan .

“Keting kaki (bahagian buku lali) mereka ditebuk dan diikat dengan rotan sega dan dimuatkan ke dalam kapal perang sebelum dibawa oleh Ligor sebagai tawanan. Di sana, mereka dijadikan orang suruhan kepada pembesar-pembesar Diraja Siam, sejumlah meriam juga turut dirampas,” katanya.

Katanya lagi, faktor lain yang memudahkan Ligor menyerang Kedah kerana terdapat pakatan sulit adinda Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II dengan Siam.

Menurutnya, pakatan sulit yang dibuat oleh Tunku Embun itu adalah disebabkan baginda tidak berpuas hati dengan pembahagian wilayah.

“Tunku Embun akhirnya dihukum bunuh oleh putera Ligor yang memerintah Kedah dan berpusat di Alor Ganu, Anak Bukit,” katanya.

Rentas7.com

Penulisan asal dipetik daripada Sinar Harian edisi Utara

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.