Gambar Allahyarham Jamil Abdul Hamid barisan depan dari kiri bersama rakan -rakannya
ALOR SETAR-Hasrat seorang adik kepada bekas pemandu trak Rejimen Batalion 22 Askar Malaysia Diraja (RAMD-22) yang mahu mencari punca sebenar kematian abang kandungnya ketika era komunis akhirnya terjawab selepas beliau menemui salah serang pemimpin kanan Parti Komunis Malaya ( PKM).
Azahar Kasim Hamid ,47,merupakan adik kepada Allahyarham Jamil Abdul Hamid iaitu salah seorang daripada tujuh anggota Batalion 22, Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD) yang terkorban dalam serangan hendap lebih 36 tahun lalu.
Dalam insiden serangan di Ulu Legong Baling Kedah itu, tujuh daripada sembilan anggota (22 RAMD) yang sedang dalam perjalanan dari Baling ke Sungai Petani dengan 1 trak volvo ¾ tan terkorban Trak mereka diserang hendap.
Serangan hendap bertalu-talu itu menyebabkan kematian kepada semua mangsa.
Dua lagi wira negara yang berjaya menyelamatkan diri namun mengalami kecacatan kekal.
Menurut Azahar, perasaan ingin tahu pihak manakah terlibat dalam serangan yang dianggap antara terburuk dalam sejarah negara ini bermula ketika beliau berkhidmat sebagai salah seorang pengamal media pada tahun 1994.
“Allahyarham pergi buat selama-lamanya sewaktu saya masih berusia 12 tahun dan ketika itu belum terlintas untuk merungkai kes itu.
“Namun selepas berjaya menjadi salah seorang pengamal media, hati saya mula terdetik untuk merungkai persoalan berkaitan kematian abang saya,”katanya.
Azahar Kasim yang pernah berkhidmat sebagai wartawan selama 15 tahun kini berkhidmat sebagai pensyarah Media Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Beliau berkesempatan untuk bertemu pemimpin kanan PKM itu pada tahun 1998 selepas ditugaskan untuk menyediakan bahan bagi sambutan hari kemerdekaan.
“Dari kecil saya hanya mendengar abang dibunuh oleh komunis tetapi tidak tahu pihak yang betul-betul terlibat.
“Jadi saya gunakan platform saya sebagai wartawan masa itu untuk mendekati pemimpin kanan Melayu dalam Parti Komunis Malaya (PKM) iaitu Rashid Maidin yang masih hidup ketika itu,”katanya.
Pujuk Mail jumpa Rashid Maidin
Katanya lagi, perjumpaannya bersama Rashid Maidin itu diadakan pada bulan Ramadan di selatan Thailand.
“Sebelum berjumpa dengan Rashid, saya mencari kenalannya terlebih dahulu yang dikenali sebagai Mail yang tinggal di Natawee (selatan Thai) agar urusan perjumpaan itu lebih mudah.
“Saya mencari Mail, seorang bekas anggota komunis yang berasal dari Thailand melalui sekeping gambar.
“Dalam gambar itu dia berambut kerinting dan memegang senjata AK-47 dan penat lelah mencarinya akhirnya berhasil,”katanya
Tambah Azahar, beliau mengambil masa untuk memujuk individu bernama Mail itu bagi membawanya berjumpa dengan Rashid Maidin walaupun orang tua yang ditemui itu sukar berbuat demikian.
“Lama kelamaan Mail setuju untuk membawa saya berjumpa Rashid Maidin selepas beberapa kali dipujuk.
“Kami kemudiannya terus menuju ke perkampungan Chulobon 12 yang terletak dalam wilayah Yala”katanya.
Allahyarham Jamil Abdul Hamid
Perkampungan Chulobon 12 atau lebih dikenali sebagai perkampungan pendamaian oleh masyarakat tempatan didirikan oleh kerajaan Thailand bagi mana-mana anggota komunis yang enggan meneruskan perjuangan dan pulang ke Malaysia.
Selepas beberapa jam menempuh perjalanan, meraka akhirnya tiba di destinasi.
Perkampungan itu menempatkan sejumlah besar bekas anggota komunis yang terlibat dengan penentangan di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.
“Rashid Maidin menerima kehadiran saya dengan baik, wataknya yang dikenali sebagai seorang yang garang tidak lagi kelihatan, mungkin kerana faktor usianya yang sudah berumur.
“Orangnya agak tinggi, namun tidak banyak bercakap kecuali tika saya mengajukan soalan berkaitan perjuangan komunis di Tanah Melayu,”katanya.
Rashid Maidin terkejut pengakuan Azahar
Azahar berkata, beliau pada mulanya sekadar memperkenalkan diri sebagai seorang wartawan yang ingin mendapatkan gambaran sebenar sejarah negara tanpa memaklumkan hasrat yang tersirat.
Menurutnya, beliau juga sanggup bermalam semalaman di rumah bekas pemimpin kanan PKM itu bagi mencari waktu paling sesuai menyoal Rashid Maidin berhubung pembunuhan abangnya.
Lokasi sembilan askar (22 RAMD) diserang hendap
“Namun, saya akhirnya memaklumkan hasrat sebenar datang ke selatan Thailand di samping kenalkan diri sebagai salah seorang adik kepada bekas anggota (22 RAMD) yang terbunuh.
“Rashid yang agak pendiam dan tidak banyak bercakap agak terkejut dengan pengakuan saya, siapa sangka orang yang dihadapannya adalah adik kepada bekas askar yang dibunuh oleh komunis sendiri,”katanya.
Bagaimanapun, Azahar Kasim berkata, Rashid memintanya bersabar di atas kejadian tersebut dan mendedahkan abangnya bersama enam lagi anggota dibunuh oleh Rejimen ke 11 –komunis.
“Saya dimaklumkan Rashid bahawa dia tidak terlibat bersama rejimen ke -11 itu dan pasukan itu kebanyakan dianggotai oleh orang bukan Melayu.
“Dalam masa sama, Rashid juga mendakwa bahawa perjuangannya bersama PKM adalah sebahagian daripada kemerdekaan tanah air,”katanya.
Pusara arwah
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Peminat Sejarah dan Warisan Pertahanan (Per.wi.Ra),Yusniza Yusof,37 berkata, peristiwa serang hendap pada tahun 1981 itu berlaku ketika sembilan anggota (22 RAMD) dalam perjalanan bagi mendapatkan bekalan makanan.
Menurutnya,serangan yang berlaku tidak jauh dari kem sementara Ulu Legong melibatkan sejumlah besar anggota komunis.
“Menurut laporan,anggaran pihak musuh terlibat dalam serang hendap ke atas sembilan askar tersebut dalam anggaran 30 orang .
“Kem Ulu Legong juga turut diserang sejurus trak tersebut diletupkan, bilangan komunis yang menyerang kem sementara yang terletak tidak jauh dengan kawasan serangan itu juga dianggarkan dengan kekuatan sama,”katanya.
Leave a Reply