Perak dapat semula kepada PN- UMNO, PH putih mata

Pemimpin PAS, Bersatu dan UMNO mengadakan perbincangan hari ini

KUALA LUMPUR– Pucuk pimpinan UMNO, PAS dan Bersatu mencapai kata sepakat apabila bersetuju untuk membentuk kerajaan baru Perak secara bersama.

Menerusi kenyataan bersama tiga setiausaha agung parti itu, Presiden Bersatu, Presiden, Pengerusi Barisan Nasional bersama setiausaha agung tiga parti berkenaan telah menmgadakan perbincangan bersama hari ini.

“Dalam perbincangan ini, Pengerusi Barisan Nasional telah menyampaikan pernyataan maaf bagi pihak ADUN-ADUN BN Perak di atas keikhlafan yang berlaku.

“Atas semangat pemaufakatan Perikatan Nasional, ketiga-tiga parti telah bersetuju untuk mencadangkan YB Dato’ Haji Shaarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak yang baharu untuk diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak,”katanya.

Kenyataan bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin, Tan Sri Anuar Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perbincangan turut menyentuh kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.

“Ketiga-tiga parti turut bersepakat untuk memperkukuhkan lagi kerjasama antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional di negeri Perak dan juga di peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,”katanya.

Krisis negeri Perak berlaku apabila Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hilang majoriti selepas usul undi percaya pada 4 disember yang dibuat ke atasnya tidak mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

Dengan terjalinnya kerjasama tiga parti itu bermakna Pakatan Harapan berputih mata untuk membentuk kerajaan Perak bersama UMNO.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.