“Sistem kesihatan kita semakin tenat”

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – “Sistem kesihatan awam di tahap genting,” (Our healthcare system is at breaking point) kata Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Perdana Menteri petang tadi.

Beliau berkata, fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga 2,000 kes baru setiap hari.

“Saya ingin jelaskan realiti situasi sistem kesihatan yang sedang kita hadapi sekarang.

“Lima belas buah hospital COVID-19 mencatatkan kadar penggunaan katil COVID-19 (bukan ICU) melebihi 70 peratus,” katanya.

Jelas Muhyiddin, kadar penggunaan katil ICU di Lembah Klang untuk pesakit COVID-19 di Hospital Kuala Lumpur dan di Pusat Perubatan Universiti Malaya telah mencapai 100 peratus manakala di Hospital Sungai Buloh pula mencapai 83 peratus.

“Sementara itu, kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 di lima (5) buah negeri iaitu Perak, Selangor, Melaka, Terengganu dan Sarawak telah melebihi 70 peratus,” katanya.

Beliau berkata, lebih dari 1,450 orang anggota perubatan di hospital seluruh negara yang telah dijangkiti atau terpaksa menjalani arahan kuarantin dan tidak dapat bertugas buat masa ini.

“Jumlah kematian akibat COVID-19 pula terus meningkat kepada 521 kes dengan kadar kematian sebanyak 0.41 peratus.

“Malaysia mencatatkan lebih 100 kes kematian sebulan bagi bulan Oktober
hingga Disember 2020 berbanding dua (2) hingga 59 kes kematian sebulan bagi bulan Mac hingga September 2020,” katanya.

Disebabkan pertambahan kes harian yang tinggi, jelasnya memberikan impak kepada kelewatan mengambil pesakit di rumah.

“Pertambahan kes harian yang tinggi menyebabkan kelewatan petugas kesihatan untuk mengambil para pesakit di rumah untuk dibawa ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Risiko Rendah COVID-19 (PKRC).

“Bencana banjir dan peningkatan kes di beberapa negeri juga menyukarkan proses mobilisasi anggota di dalam negeri dan juga di antara negeri.

“Ini menyukarkan usaha menambah bilangan katil ICU untuk pesakit kritikal,”katanya.

Dalam Perutusan Khas itu, Muhyiddin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri iaitu Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan pula dikenakan PKP-Bersyarat (B) manakala PKP Pemulihan (PKP-P) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak.

Pelaksanaan perintah bagi semua negeri bermula bermula 13 Januari hingga 26 Januari 2021.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.