Musang king Pahang: Siasat semua agensi dan pemimpin terlibat

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) negeri Kedah menuntut semua pemimpin termasuk agensi kerajaan yang terlibat dengan kegiatan menceroboh seluas 4,400 hektar tanah kerajaan Pahang disiasat segera.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, pencerobohan ini dilakukan seolah-olah secara terancang dan penuh muslihat.

“Seperti yang pernah dilaporkan media, seluas 4,400 hektar tanah telah diceroboh dengan berleluasa dan begitu lama.

“Ia merupakan perkara yang amat luar biasa, sekiranya terbukti, PUTRA menuntut agar kerajaan mengheret pengkhianat yang ada dalam agensi kerajaan ke muka pengadilan. Siasatan penuh terhadap semua agensi terlibat perlu dibuat,”katanya hari ini.

Tambahnya, amalan rasuah dalam kalangan pemimpin dan agensi kerajaan yang terdiri daripada bangsa Melayu akan menjahanamkan bangsa Melayu itu sendiri.

Mustafa berkata, kesemua 111 penceroboh tanah kerajaan perlu dikenakan hukuman yang berat seperti mana pihak berkuasa menghukum bekas vateran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atas kesalahan sama.

Menurutnya, pada 6 Disember 2016, Mahkamah Seksyen menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM50,000 terhadap seorang bekas tentera kerana didapati bersalah menceroboh Hutan Simpan Kekal Pondok Tanjung di Gunung Semanggol Perak.

“Bahkan beberapa bulan lalu di Merbok Sungai Petani, seorang pengusaha hotel Melayu yang mendirikan premis di atas tanah kerajaan juga telah dirobohkan.

“Tetapi apabila isu sama melibatkan 111 pekebun durian musang king, mereka seperti kebal hingga mampu mendapatkan Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan di beberapa lokasi sekitar Raub pada 28 Ogos.

“Walaupun kerajaan negeri Pahang telah menyatakan ketegasan supaya semua tanah diceroboh pekebun berkenaan dikosongkan, tetapi kita mahu ketegasan itu dilaksanakan segera termasuk menghukum semua pengkhianat yang menceroboh tanah penduduk Pribumi,”katanya.

Kawasan dusun durian haram yang diceroboh di Raub antaranya ialah di Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tras dan Tranum.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.