Pakar sejarah dedah peta sebenar negeri Kedah, generasi hari ini wajib ambil tahu..

Wan Shamsudin berdiri di mercu tanda yang ditulis "disini bermulanya bumi Melayu" ketika lawatan di Segenting Kra, Thailand

SELAIN berperanan sebagai pusat penyebaran Islam yang terpenting di rantau ini, siapa sangka peta negeri Kedah ketika era Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II (1710-1778) turut menjangkaui jauh sehingga ke utara Thailand dan sempadan Myanmar.

Apa yang mengujakan, di bawah pimpinannya, kerajaan Islam Kedah pada zaman itu begitu dihormati dan digeruni oleh kuasa-kuasa lain.

Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wira Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, kejayaan meluaskan wilayah jajahan takluk Kedah sehingga hampir dengan  sempadan Burma kini dikenali sebagai Myanmar berjaya hasil kerjasama putera Sultan Muhammad Jiwa Adilin Mu’adzam Shah II iaitu Tunku Anjang.

Menurutnya, di bawah pimpinan Tunku Anjang, angkatan tentera Kedah berjaya meluaskan pengaruh bermula dari Pulau Sembilan yang terletak di lembah Kerian, Perak.

“Malah kuasa penaklukan Kedah turut meliputi negeri-negeri di utara  tanah air iaitu Seberang Perai dan Pulau Pinang, Perlis termasuk Satun.

“Kesemua kawasan ini pada asalnya adalah milik Kedah, malah pusat pemerintahan Kedah pernah terletak di Kota Sena kini dikenali sebagai bandar Kangar dan Kota Indera Kayangan yang terletak di Negeri Perlis,”katanya.

Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, perluasan wilayah Kedah diluaskan lagi bermula dengan Terang, Krabi, Phuket, Phanga dan Pulau Samilan di mana semua kawasan itu kini sudah menjadi milik Thailand.

Menurutnya, semua kawasan tersebut juga mempunyai nama yang sebenar sebelum ditukar mengikut pertuturan masyarakat Thailand.

“Sebagai contoh nama asal bagi Krabi adalah Kerambit dan ia membawa maksud sebilah pisau berbentuk sabit, Phuket pula asalnya dari perkataan Bukit dan Phanga pula berasal dari perkataan Bunga,”katanya.

Katanya lagi, dengan kekuatan ketenteraan yang kuat, Kedah meneruskan lagi wilayah jajahannya sehingga ke Ranong dan terakhir di perairan Burma.

Menurutnya, setiap kawasan jajahan takluk ini bukan semua kepunyaan Siam, namun sebahagiannya merupakan sebuah kerajaan yang tersendiri dan merdeka.

“Perkataan Ranong juga berasal dari perkataan bahasa Melayu iaitu Rundung, tetapi ia juga ditukar ke dalam bentuk percakapan lain.

“Malah hakikat kebenaran sejarah tersebut juga turut diakui oleh pihak Siam sendiri di mana kerajaan Thailand sendiri turut membina mercu tanda di Segenting Kra (wilayah Ranong) dengan terukir perkataan “Di sinilah bermulanya bumi Melayu,”katanya.

Peta (ditanda berwarna hitam) ialah negeri asal Kedah Darul Aman, kini menjadi milik Thailand

Angkatan Perang Kedah, angkatan terhebat

Beliau berkata, kejayaan meluaskan empayar Kedah tidak diperolehi dengan mudah, sebaliknya angkatan tentera Kedah juga turut bertempur dengan pihak-pihak tertentu sebelum berjaya menegakkan sebuah kerajaan yang kuat dan digeruni.

“Untuk menakluk kawasan tersebut, angkatan tentera Kedah terpaksa menghadapi tentangan sengit dari tempat-tempat yang ditaklukinya, namun pada zaman itu angkatan tentera Kedah sememangnya sukar untuk dikalahkan,”katanya.

Wan Shamsudin berkata, kerajaan Islam Kedah turut mempunyai pangkalan kapal perang sendiri dengan ianya di bina di pelabuhan Telibong, kawasan yang terletak dalam wilayah Terang.

Menurutya, bukti tersebut dapat dilihat dalam  sebuah Syair Sultan Maulana, satu gelaran yang diberi kepada Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah sewaktu Kedah diminta oleh kerajaan Siam untuk mengusir Burma di Phuket pada sekitar tahun 1808 hingga 1810.

“Maka dalam syair itu, penyair menyindir angkatan perahu Siam jika dibandingkan dengan perahu perang Kedah yang dibina di Telibung .

“Salah satu rangkap syair itu berbunti “Perahu Melayu Telibung Kedah, Dua Puluh dibilang sudah, Lainnya Siam Haram zadah, Perahunya tiada memberi faedah”, maksud perahu dalam syair itu merujuk kepada kapal perang,”katanya.

Sultan cipta mata wang

Jelasnya lagi, sebelum zaman perluasan kuasa berlaku, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II juga mencipta pelbagai jenis mata wang emas dan perak yang tertulis nama baginda.

“Salah satu mata wang yang diterbitkan pada zamannya berbentuk ayam jantan dan ia disambung dengan mata wang berbentuk bulat seperti cincin,”katanya.

Mata wang yang berbentuk ayam jantan ketika zaman Sultan Muhammad Jiwa Zainal Mu’adzam Shah II

Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, di sebalik banyak kejayaan di bawah zaman baginda, Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin Mu’adzam Shah II juga merupakan seorang pemimpin yang cukup dikenali sebagai seorang yang soleh dan sayangkan ulama.

Menurutnya, pemimpin paling lama memerintah negeri Kedah itu juga turut mendalami ilmu agama di seberang laut dan berguru dengan seorang alim ulama dari Yaman iaitu Syeikh Abdul Jalil.

Salah satu mata wang di zaman Sultan Muhammad Jiwa Zainal Mu’adzam Shah II

“Baginda memerintah Kedah selama 68 tahun, namun sebelum menjadi sultan baginda meminta izin ayahandanya untuk menuntut ilmu agama terlebih dahulu.

“Baginda kemudian menuntut di Palembang, apa yang menariknya, tuan gurunya iaitu Syeikh Abdul Jalil tidak pernah tahu anak muridnya itu adalah anak dari Sultan Kedah sehinggalah pihak istana mencari baginda untuk diminta pulang bagi menaiki tampuk pemerintahan,”katanya.

Jelas Wan Shamsudin lagi,zaman keemasan Kedah bagaimanpun tidak mampu kekal .

Tidak beberapa lama kemudian, akibat kekuatan tentera Kedah yang semakin lemah dan campur tangan kuasa tempatan seperti Acheh, Minangkabau, Bugis dan Siam.

“Salah satu cara kuasa seperti Siam melemahkan pengaruh Kedah ialah dengan memaksa Kedah menentang kebangkitan Patani pada tahun 1809 dan menyerang jirannya Perak pada tahun 1818,”katanya.

 

Rentas7.com

 

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.