Safawi bantu JDT belasah Perak 7-0

Pemain Perak bersaing mendapatkan bola dengan pemain JDT

KUALA LUMPUR– Perak mengalami kekalahan terbesar setakat ini selepas mengharungi enam perlawanan CIMB Liga Super 2020.

Pada aksi malam ini, Perak tanpa diduga dibelasah 7-0 oleh JDT di Stadium Sultan Ibrahim.

Kekalahan kedua berturut-turut selepas tewas kepada Felda United 1-0 pada 28 Ogos lalu menyukarkan Perak untuk memburu kejuaraan liga musim ini.

Dalam aksi tadi, Perak dibolosi gol awal pada minit ke-22 hasil jaringan Afiq Fazail.

Belum sempat Perak mencari gol penyamaan, giliran Gonzalo Cabrera pula merobek gawang Perak hasil jaringan minit ke-36 dan 45.

Pemain import sensasi JDT itu melengkapkan hatrik pada minit ke-63 .

Sebelum itu gol keempat JDT diperolehi hasil jaringan pemain meningkat naik, Ramadhan Saiffullah Usman pada masa tambahan separuh masa pertama.

Penyerang sensasi yang bakal sertai Liga Premier Portugal, Portimonense SC, Safawi Rasid tidak terlepas daripada menempatkan nama dalam senarai penjaring.

Safawi yang dimasukkan bagi menggantikan Ramadhan tidak menunggu lama untuk membolosi gawang lawan apabila menyumbat gol keenam minit ke-79.

Minit ke-84, Akhyar Rashid melengkapkan malam Gemilang JDT dengan menjaringkan gol ketujuh buat pasukan Harimau Selatan itu.

Kekalahan memalukan buat Perak menyaksikan anak buah Mehmet Durakovic jatuh ke tangga kelima dengan lapan mata.

Kedudukan itu dilihat akan dipintas pasukan di tangga keenam dan ketujuh iaitu Kedah atau UITM FC.

Kedua-dua pasukan hanya dipisahkan satu mata dengan Perak.

JDT yang belum tewas menggunguli carta dengan 16 mata hasil lima menang dan satu seri.

Rentas7/ Foto: Johor Southern Tiger

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.