Mohd Azizulhasni harumkan nama negara, PM bangga

Mohd Azizulhasni Awang menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR-Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Mohd Azizulhasni Awang yang muncul sebagai Raja Pecut Dunia.

Gelaran itu disandang Mohd Azizulhasni selepas Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengeluarkan ranking terbaru.

Mohd Azizulhasni berada di kedudukan teras selepas mengumpul 1,600 mata.

Muhyiddin berkata, kejayaan mengungguli ranking dunia acara pecut individu itu adalah pencapaian yang cukup membanggakan negara.

“Dengan kejayaan terbaharu ini, beliau yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ selayaknya dipanggil Raja Pecut Dunia.

“Saya dan seluruh peminat sukan tanah air, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Azizulhasni,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata, kejayaan itu melengkapkan lagi diari gemilang arena sukan negara selepas kejayaan bekas Ratu Skuasy Negara, Datuk Nicol Ann David dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia, awal bulan ini.

“Semoga kejayaan beliau ini akan menjadi inspirasi kepada atlet muda serta seluruh peminat sukan berbasikal dalam mengejar cita-cita mencapai kejayaan di peringkat tertinggi.

“Kepada Azizulhasni, jadikanlah kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk beraksi lebih cemerlang dalam Sukan Olimpik Tokyo akan datang,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.