MB dedah, musang king Gunung Inas tak ikut kelulusan

BALING -Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan projek musang king di Gunung Inas yang mengakibatkan banjir kilat di daerah ini tidak mengikut kelulusan sebenar.

Beliau berkata, kelulusan awal projek berkenaan ialah bagi pembangunan tanaman ladang hutan iaitu Timber Latex Clon (TLC) namun pihak syarikat bertindak melaksanakan projek musang king.

Menurutnya, hutan yang digondol menghakis tanah dan pasir hingga ke dalam sungai sekaligus mencetekkan lembangan sungai dan menyebabkan banjir kilat.

“Kita telah memutuskan tadi (Mesyuarat Exco) supaya pihak yang diberikan hak milik atas penggunaan tanah kira-kira 600 hektar di Gunung Inas untuk pembangunan ladang hutan, tapi mereka menanam durian musang king.

“Mereka ( perlu) kembali kepada rancangan asal iaitu menanam TLC (Timber Latex Clon) seperti mana kelulusan asal projek tersebut,” katanya dalam sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Baling hari ini.

Terdahulu, banjir kilat pada Jumaat lalu menjejaskan ratusan rumah penduduk dalam DUN Bayu dan DUN Kupang.

Beliau berkata, untuk tindakan awal, kerajaan negeri akan mengarahkan syarikat tersebut menanam tanaman penutup bumi supaya kurangkan kesan hakisan yang menyebabkan sungai menjadi cetek, air keruh dan orang ramai menjadi mangsa kepada banjir kilat.

Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui RMK12 telah meluluskan projek tebatan banjir Baling berjumlah RM900,000.

Beliau berkata, program pemuliharaan sungai bagi kurangkan risiko banjir di Kampung Merbau, Sungai Ketil dengan kos RM400,000 dalam proses penilaian harga.

Dalam pengumuman sama, Sanusi mengumumkan peruntukan RM200,000 bagi menaiktaraf pencahayaan Gua Sireh bagi menarik pelancong tempatan.

Difahamkan, projek pertanian Gunung Inas telah bermula pada tahun 2018 sebelum PRU-14.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.