Jumpa tedung selar di dapur rumah

Reptilia berkenaan berjaya dijerut APM Sik

 

Laporan: Nur Aimuni Abdul Karim

SIK- Seorang wanita yang sedang mengemas rumah segera menyelamatkan diri selepas melihat seekor ular tedung selar di bahagian dapur rumahnya.

Kejadian itu berlaku di Kampung Kota Aur semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik, Lt (PA) Haisul Aishah Napiah berkata, lima anggota Skuad Hotel APM Sik bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan MERS pada jam 12 tengah hari.

“Menurut tuan rumah, isterinya sedang mengemas rumah dan ternampak reptilia tersebut di dapur rumah. Lalu mereka bergegas menghubungi 999.

“Setibanya di lokasi, semua penghuni rumah telah berada di luar rumah sebagai langkah keselamatan. Reptilia tersebut mungkin telah membaham sesuatu sebagai makanannya,” katanya.

Beliau berkata, reptilia dianggarkan sepanjang empat meter dan seberat lima kilogram itu tersebut berjaya dijerut walaupun agak agresif.

“Berikutan musim panas ini, reptilia berbisa sering kali keluar dari tempat persembunyian untuk mencari makan atau berteduh. Oleh itu orang ramai diminta sentiasa waspada dan peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Sebarang kes kecemasan boleh hubungi APM Sik di talian 04 469 8221.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.