Lapan tahun di Gaza tak pernah mengalir air mata, tapi tonton saja video Ustaz Ebit Lew…

KUALA LUMPUR– Aktivitis Malaysia di Palestin belum pernah mengalirkan air mata walaupun sudah terlibat lapan tahun dalam misi bantuan di Gaza.

Namun akui Pengasas Cinta Gaza Malaysia, Nadir Al Nuri, air matanya tumpah tatkala melihat video Ustaz Ebit Lew.

Katanya, dia tidak menangis bukan kerana tidak kasihan atau berhati gelap namun kerana sudah terlalu kerap bertemu orang susah.

“Orang yang perlukan bantuan macam Ustaz Ebit Lew bantu hari-hari saya jumpa. Yang lumpuh tak boleh bergerak, yang kaki putus, yang makan roti cicah garam, yang sakit dan meraung tapi tak mampu beli ubat, yang hidup berlantaikan tanah, berbumbungkan langit dan berhiaskan bintang.

“Tapi yang peliknya bila tengok video Ustaz Ebit, airmata saya tumpah. Satu, dua, tiga video semuanya membuatkan airmata saya tumpah,”katanya di Facebooknya.

Kenyataan Nadir di Facebooknya

Katanya, ada satu sebab mengapa hati orang melihat video pendakwah terbabit boleh tersentuh.

“Saya tahu apa yang Ustaz Ebit buat itu sampai ke hati orang yang melihat dan menjentik perasaan yang menonton hanya kerana satu sebab iaitu Ustaz Ebit ikhlas dalam apa yang dilakukan.

“Ustaz Ebit dekat dengan Allah, banyak amalan sunat dan ‘walk the talk’. Ustaz Ebit lisannya dipelihara dari bercakap yang tidak baik dan hatinya dijaga dari bersangka buruk,”katanya.

Beliau berkata, bantuan Ustaz Ebit berbeza dan dakwahnya juga luar biasa.

“Tetapi orang baik ujiannya banyak dan orang seperti ini sentiasa menjadi buruan syaitan.

“Menjadi mangsa mereka yang duduk tanpa mampu mengisi masa dengan perkara berfaedah lalu mengisinya dengan kerja-kerja syaitan,”katanya.

Justeru Nadir menasihati golongan berkenaan supaya mencari perkara yang bermanfaat untuk dilakukan.

“Kalau ada perkara yang tak disukai, belajar untuk diam selagi ia tak melanggar syariat. Jangan sibuk mengumpul dosa tatkala orang lain laju mengejar pahala.

“Hukumlah dengan apa yang dilihat dan biar Allah menghukum pada apa yang tersembunyi. Banyakkan beristighfar dan mendekatkan diri kepada Allah.

“Dan kepada yang berkenaan bertaubatlah kerana dengan kata nista dan perbuatan keji kita peluang mendapat bantuan dan peluang dakwah telah tertutup untuk begitu ramai manusia. Semoga Allah mengampuni kita,”katanya

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.