Malaysia kecam keras tindakan hina Nabi Muhammad S.A.W

Hishammuddin Tun Hussein

KUALA LUMPUR– Menghina Nabi Muhammad S.A.W melangkaui batas kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan retorik dan provokatif yang memfitnah agama Islam.

Menurutnya, ia disaksikan dunia baru-baru ini menerusi ucapan populis serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W.

“Sebagai negara yang demokratik dan sederhana, Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia.

“Walaubagaimanapun, mencemarkan serta mengeji Nabi Muhammad S.A W yang dianggap paling mulia dalam agama Islam telah melangkaui batas hak tersebut,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Hishammuddin berkata, perbuatan itu tidak menghormati agama Islam serta lebih dua bilion penganutnya di seluruh dunia.

Terdahulu, sebuah majalah berhaluan kiri di Perancis menerbitkan karikatur menghina agama Islam.

Tindakan yang mencetuskan api kemarahan umat Islam itu dimarakkan lagi dengan kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menuduh Islam sebagai agama krisis di dunia.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.