Mahathir tolak penuhi janji manifesto- Guan Eng

KUALA LUMPUR-“Tun Dr Mahathir Mohamad menolak untuk memenuhi janji-janji manifesto pilihan raya PH,” kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Beliau mendakwa, Perdana Menteri ketujuh membuat keputusan itu dalam satu pertemuan bersamanya.

Dalam perbincangan saya dengan Tun Dr Mahathir pada 25 Februari 2020 di Pejabat Perdana Menteri.

“Beliau telah menolak untuk kekal sebagai Perdana Menteri PH dan menolak untuk terus memenuhi janji-janji Manifesto PRU PH,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PH ialah satu pakatan pentadbiran yang terdiri daripada PKR, Amanah, DAP, dan Bersatu yang telah memenangi mandat rakyat pada PRU-14.

“Keempat-empat parti ini mungkin mempunyai ideologi dan aspirasi yang berbeza.

“Tetapi kami telah mencari satu titik persamaan dan terikat dengan manifesto PRU yang telah dipersetujui bersama,”katanya.

Beliau berkata, sejak 21 bulan yang lepas, kerajaan PH telah bekerja keras untuk memenuhi janji-janji manifesto secara berperingkat.

“Antaranya termasuklah penurunan kadar tol untuk Lebuhraya Utara Selatan sebanyak 18% bagi kenderaan persendirian dengan jaminan tidak ada sebarang kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi.

“Selain itu, projek MySalam yang menawarkan bantuan kewangan bernilai di antara RM4,000 sehingga RM8,000 untuk mereka yang menghidapi salah satu daripada 45 penyakit kritikal,”katanya.

Katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan, kerajaan PH turut memansuhkan GST yang digantikan dengan SST dan membayar semula pemulangan kutipan GST yang berjumlah RM19.4 bilion.

Menurutnya, kedudukan kredit antarabangsa negara dapat dikekalkan walaupun kerajaan terpaksa membayar berpuluh bilion ringgit kerana skandal 1MDB, Tabung Haji dan pelbagai skandal-skandal lain lagi.

“Di samping itu, kerajaan PH turut menyambung semula projek-projek infrastruktur utama selepas mencapai penjimatan lebih daripada RM50 bilion melalui rundingan semula dan rasionalisasi projek kerajaan terdahulu,”katanya.

Katanya lagi, PH sebelum ini berjaya mencipta 350,000 peluang pekerjaan untuk mereka yang menganggur melalui projek MalaysiaKerja yang bernilai RM6.5 bilion serta menghasilkan pelbagai kejayaan lain.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.