Kembali ke era 80-90 an di Restoran Mok Aji Kota Bharu

Restoran Mok Aji pilihan terbaik perantau dan pelancong untuk menjamu selera

KOTA BHARU-Menikmati nasi ayam di Restoran Mok Aji berhadapan Dataran Awam Muhammadi Kota Bharu membawa sesiapa saja kembali ke zaman sekitar 80 an hingga 90 an.

Kedudukan restoran yang terletak di tengah-tengah bandar Kota Bharu memudahkan sesiapa saja mencari dan datang ke sini.

Bahkan ia mungkin lokasi sesuai untuk mereka yang mencari ‘port healing’ ( tempat penyembuhan) atau mencari suasana lain dari yang lain.

 

Hiasan dalaman Restoran Mok Aji

Hanya dengan mengantung gambar-gambar kota, kata-kata motivasi, jam lama serta hiasan lori mainan produk minuman berlainan keluaran yang bermula dari edisi awal, ia cukup menjadikan suasana dalam restoran seperti zaman lampau.

Keunikan restoran itu tidak lengkap tanpa kesedapan nasi ayam Mok Aji yang berharga hanya RM6 sepinggan.

Adunan resipi Pantai Timur menjanjikan hidangan nasi ayam Mok Aji sangat menyelera dan mengenyangkan.

Sos pencicah, kicap dan sup menambah kelazatan nasi ayam Mok Aji

Nasi kuning bersama potongan ayam, sup, kicap dan sos pencicah boleh dikatakan set lengkap wajib dicuba oleh penggemar nasi ayam.

Restoran Nasi Ayam Mok Aji terletak berhadapan Dataran Awam Muhammadi

Selain nasi ayam, restoran ini juga menyediakan pelbagai hidangan lain sekaligus pilihan terbaik perantau dan pelancong menikmati keunikan makanan Kota Bharu.

Selepas kenyang, para pelancong boleh meneruskan aktiviti dengan menziarahi muzium sejarah, muzium kraftangan Kelantan dan singgah solat di Masjid Jamek Muhammadi yang terletak berdekatan.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.