Hari Perikanan Sedunia berjaya dianjurkan

PUTRAJAYA- Penganjuran julung kali Sambutan Hari Perikanan Sedunia (HPS) 2024 yang diadakan di Anjung Floria, Putrajaya memberi kelainan dan membawa manfaat secara terus kepada masyarakat setempat telah berjaya menarik kehadiran 13,580 orang setakat pukul 2.00 petang.

HPS inisiatif yang dilaksanakan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan industri perikanan dan ekosistem marin seterusnya menghargai usaha nelayan, penternak, penyelidik serta semua yang terlibat dalam sektor perikanan.

Dalam sambutan yang pertama ini, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan, termasuk pameran produk perikanan, demonstrasi masakan dan ceramah mengenai amalan perikanan yang bertanggungjawab. Kehadiran pengunjung yang menggalakkan menunjukkan minat yang tinggi terhadap industri jualan produk perikanan.

Dato’ Haji Adnan bin Hussain, Ketua Pengarah Perikanan berkata DOF amat berbangga dengan kejayaan sambutan hari ini. Ini merupakan langkah pertama dalam menggalakkan kesedaran tentang pentingnya sumber perikanan yang lestari. Sokongan daripada usahawan perikanan juga amat memberangsangkan.

Sambutan ini turut menjadi platform untuk usahawan mempromosikan produk perikanan mereka, sekaligus memberi impak positif kepada ekonomi. Pelbagai aktiviti kesedaran awam dan pameran agensi kerajaan yang diadakan, membawa mesej penting tentang pemeliharaan ekosistem marin kepada semua pengunjung.

Acara ini juga telah memperlihatkan kerjasama yang erat antara usahawan, penggiat industri, dan pengunjung dalam usaha mempromosikan perikanan yang bertanggungjawab.

Sepanjang tempoh dua hari penganjuran, pengunjung juga berpeluang mendapat penerangan dan tawaran perkhidmatan langsung Kerajaan. Sebanyak 13 kaunter perkhidmatan jabatan serta agensi telah mengambil bahagian pada HPS kali ini.

Penglibatan 20 reruai usahawan produk perikanan, enam reruai usahawan jualan AgroMADANI dan kendera saji dalam sambutan ini turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan perikanan. Sebanyak RM 72,240 jualan berjaya direkodkan sehingga hari kedua program.

DOF mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan sambutan ini, termasuk pengunjung, peniaga dan orang awam yang menyokong penganjuran HPS.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara ini sila layari portal rasmi dan platform media sosial Jabatan Perikanan Malaysia.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.