Isu pembekalan vaksin, MOSTI jawab tuduhan

Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kementerian Sains, Teknologi danInovasi (MOSTI) merujuk hantaran-hantaran yang dibuat oleh beberapa pemilik akaun di laman media sosial Facebook yang telah membuat
tuduhan tidak benar kepada kerajaan tentang pembekalan vaksin COVID-19.

MOSTI dalam kenyataan berkata, menerusi hantaran tersebut, pemilik akaun berkenaan telah membuat tuduhan bahawa kerajaan telah membayar RM3 bilion untuk pembelian 10 juta dos vaksin COVID-19.

“Seperti mana yang telah diumumkan sebelum ini, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM3 bilion bagi tujuan perolehan vaksin COVID-19.

“Peruntukan RM3 bilion yang disediakan kerajaan ini adalah bagi perolehan vaksin berjumlah sehingga 70 peratus populasi negara atau 22.4 juta orang,”kata kenyataan itu semalam.

Menurut MOSTI, untuk rekod, perkara ini juga telah dijawab dan dijelaskan oleh Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin sebanyak beberapa kali ketika persidangan Dewan Rakyat yang lalu.

“Kerajaan baharu sahaja menandatangani perjanjian dengan syarikat farmaseutikal Astra Zeneca bagi perolehan sebanyak 6.4 juta dos atau tambahan sebanyak 10 peratus lagi.

“Ini bermakna jaminan bekalan vaksin sebanyak 40 peratus yang telahpun
diperolehi menerusi perjanjian bersama fasiliti COVAX, syarikat Pfizer dan syarikat AstraZeneca,”katanya.

Kenyataan berkata, kerajaan juga sedang dalam proses rundingan akhir dengan Sinovac, CanSino dan Gamaleya bagi mendapatkan jaminan bekalan vaksin bertambah melebihi 80 peratus jumlah populasi negara atau 26.5 juta.

“Melalui kesemua rundingan dan perjanjian yang telah dan akan dimeterai buat masa ini, kerajaan akan membelanjakan sejumlah AS$504.4 juta (RM2.05 bilion).

“Jumlah 80 peratus ini adalah melebihi sasaran awal iaitu untuk memberikan vaksin kepada 70 peratus rakyat Malaysia,”katanya.

Sehubungan dengan itu, MOSTI meminta agar orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya membuat dan menyebarkan maklumat tidak sahih dan palsu tanpa merujuk kepada kenyataan rasmi yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

“MOSTI tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas sebarang kenyataan yang tidak berasas serta tidak benar yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.