Isteri tahanan SOSMA kecewa..

KOTA BHARU-Isteri kepada tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) menyatakan kekesalan terhadap keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 individu terkait kumpulan pengganas, Harimau Tamil Ealam (LTTE).

Wanita ingin dikenali sebagai Aminah,41, berkata, keputusan berkenaan amat berat sebelah buat keluarga tahanan SOSMA.

“Bagi saya ini sangat tidak adil, kenapa dia (Peguam Negara) buat macam tu? Jika nak bebas biar bebas semua sekali.

“Teruk sangatlah..(bebas 12 Individu dituduh LTTE). Ini (keputusan) yang berat sebelah,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Ketika 12 individu tersebut akan dibebaskan, harapan Aminah untuk melihat suaminya keluar daripada penjara masih lagi kabur.

“Saya pun tak tahu sampai bila suami akan meringkuk dalam penjara,”katanya.

Suami kepada Aminah ditahan beberapa tahun lalu selepas dituduh mempunyai hubungan dengan gerakan pengganas di Timur Tengah.

Hari ini, Peguam Negara membuat keputusan di luar jangkaan apabila memaklumkan untuk memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang dituduh menyokong LTTE.

Hal ini bermakna, kesemua tertuduh akan dibebaskan kerana tiada bukti kukuh mengaitkan mereka dengan tuduhan menyokong kumpulan pengganas.

Tan Sri Tommy Thomas dilaporkan membuat keputusan itu selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh yang berdepan 34 pertuduhan.

Lapor BH online, Tommy membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara.

Dua daripada 12 dituduh adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G Saminathan,34, dan ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran,60.

Kedua-dua pemimpin DAP itu sebelum ini ditahan polis pada 9 Oktober tahun lalu.

Rentas 7.com/ Foto: MalaysiaGazette

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.