Cubaan seludup 1,500 murai digagalkan, rakyat tempatan jadi dalang

Empat suspek ditahan bersama 1500 ekor murai yang cuba diseludup

BANDAR HILIR– Cubaan menyeludup sebanyak 1500 ekor burung murai kampung menggunakan dua bot fiber dari sini ke Indonesia digagalkan, awal pagi semalam.

Dua bot berkenaan dinaiki dua lelaki berstatus pendatang asing tanpa izin (PATI) beserta dua warga tempatan berusia antara 33 hingga 55 tahun.

Mereka ditahan di kedudukan pada jarak kira-kira 1.9 batu nautika Barat Daya Pulau Besar, Melaka oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( APMM) Melaka dan Negeri Sembilan.

Pengarah Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, kesemua suspek ditahan sekitar 2.15 pagi ketika bot peronda Maritim Malaysia melakukan rondaan.

Menurutnya, sebelum serbuan dibuat, kedua bot yang sedang merapat itu dilihat dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan selanjutnya mendapati kesemua suspek bertemu di tengah laut untuk menyeludup keluar burung Murai terbabit dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati dua PATI Indonesia terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah”katanya.

Haris Fadzillah berkata, hasil siasatan awal, beliau percaya kedua-dua bot yang ditahan itu menjalankan aktiviti penyeludupan burung untuk dipasarkan di Indonesia yang mendapat permintaaan tinggi.

Susulan penahanan itu, kesemua murai tersebut dirampas bersama dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran.

Turut dirampas ialah enjin sangkut jenis Yamaha 200 kuasa kuda dan Mercury 115 kuasa kuda bagi siasatan lanjut mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksan Malaysia 2012 dan Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka juga disyaki didalangi sindiket warga tempatan.Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan lebih RM 300 ribu,”katanya yang juga Ketua Gugus Tugas Sektor 6 Op Benteng Laut.

Beliau berkata, APMM akan meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi menyekat aktiviti rentas sempadan di perairan Melaka dan Negeri Sembilan.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan kecemasan di laut di talian Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.