MOSTI dan MOST China jalin kerjasama

Khairy Jamaluddin yang menghadiri mesyuarat maya berkenaan

KUALA LUMPUR, – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Malaysia (MOSTI) dan Kementerian Sains dan Teknologi, China (MOST) telah menjalinkan hubungan rapat melalui pelbagai kerjasama khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

Kerjasama ini terus diperkukuhkan pada semalam melalui satu dialog secara maya di antara Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin dan Menteri MOST China, Tuan Yang Terutama (TYT) Wang Zhigang.

Mesyuarat yang julung kali diadakan secara maya antara kedua-dua
Menteri ini menyaksikan kepentingan teknologi digital dalam merapatkan
jurang komunikasi dalam situasi pandemik.

Kedua-dua negara turut berkongsi pandangan terhadap penularan wabak COVID-19 yang
mengakibatkan implikasi negatif terhadap ekonomi global serta memberi
kesan kepada kesejahteraan rakyat.

Justeru, pendekatan diplomasi sains
melalui jaringan antarabangsa sebegini adalah penting dalam menangani
krisis pandemik COVID-19.

Antara fokus perbincangan adalah untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama kedua-dua negara berkaitan penyelidikan dan pembangunan
vaksin.

MOSTI telah berkongsi pandangan Malaysia supaya vaksin COVID-19 perlu dijadikan sebagai komoditi awam dan mudah diperoleh bagi kebanyakan negara yang terjejas akibat wabak ini.

MOSTI juga menyatakan hasrat Malaysia untuk mendapatkan vaksin tersebut secara awal dari China apabila ia siap dihasilkan nanti.

Dalam mesyuarat hari ini, Malaysia juga menawarkan kepakaran proses akreditasi halal bagi vaksin yang dihasilkan oleh China (melalui JAKIM)
apabila ia siap dibangunkan kelak. MOSTI melalui Institut Bioteknologi
Kebangsaan (NIBM) akan mengkoordinasi inisiatif ini, selari dengan penyediaan roadmap pembangunan vaksin negara.

Perbincangan tadi turut menyentuh kolaborasi kedua-dua negara dalam
teknologi Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) bagi memacu
pertumbuhan ekonomi, kerjasama membangunkan Artificial Intelligence
(AI) Park, kerjasama bidang sains angkasa dan perkongsian pengalaman
berkenaan teknologi Block-chain.

Kedua-dua negara berharap mesyuarat
ini dapat memperkasakan hubungan dua-hala antara Malaysia dan China
terutamanya dalam bidang sains dan teknologi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.