Pelancongan Malaysia terus rekod pertumbuhan negatif angkara COVID-19

PUTRAJAYA– Pandemik COVID-19 memberikan kesan teruk kepada sektor pelancongan negara.

Tourism Malaysia dalam kenyataan berkata, Malaysia terus merekodkan pertumbuhan negatif bagi prestasi pelancongan negara secara keseluruhan akibat wabak tersebut.

“Bagi tempoh Januari hingga September 2020, Malaysia menerima ketibaan seramai 4,299,419 pelancong antarabangsa berbanding dengan 20.1 juta pelancong bagi tempoh sama pada tahun 2019, iaitu penurunan sebanyak 78.6%.

“Dari segi perbelanjaan pelancong, Malaysia merekodkan RM12.6 billion iaitu penurunan sebanyak 80.9% berbanding RM66.1 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2019,”kata kenyataan itu.

Tourism Malaysia berkata, perbelanjaan per kapita turut mencatat penurunan sebanyak 10.7% dari RM3,289.30 pada tahun 2019 ke RM2,938.40 pada tahun ini.

“Sepuluh pasaran utama ke Malaysia masih didominasi negara-negara yang sama iaitu Singapura (1,543,627), Indonesia (710,118), China (403,055), Thailand (372,075), India (155,448), Brunei (135,848), Korea Selatan (119,364), Jepun (73,891), Australia (72,369) dan Filipina (65,601),”katanya.

Menurut kenyataan, setiap pasaran mengikut rantau menunjukkan pertumbuhan negatif melebihi 70 peratus iaitu pasaran jarak dekat atau ASEAN (-78.8%), pasaran jarak sederhana (-80.0%) dan pasaran jarak jauh (-74.0%).

“Ketibaan pelawat harian (excursionists) di Malaysia pula mencatatkan sejumlah 1,733,101 pelancong, iaitu penurunan sebanyak 74.9% berbanding 6,905,378 orang yang telah melawat Malaysia bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Malaysia terus mencatatkan penurunan ketibaan pelancong asing bagi suku ketiga ini berikutan penutupan sempadan negara sejak 18 Mac yang merupakan langkah proaktif kerajaan untuk membendung wabak pandemik Covid-19 di Malaysia,”katanya.

Menurut kenyataan, negara-negara lain tidak terkecuali dari mengalami kesan daripada pandemik COVID-19 dari segi pencapaian pelancongan.

“Menurut sumber dari Pacific Asia Travel Association (PATA), negara-negara jiran termasuk Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia, juga mencatatkan pertumbuhan negatif melebihi 70 peratus disebabkan larangan perjalanan antarabangsa yang dikuatkuasakan di negara masing-masing,”katanya.

Rentas7.com- Tourism Malaysia

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.