Bekalan air terjejas, Menteri Besar Selangor terpaksa langgar kuarantin

Amirudin Shari tetap mengambil langkah berjaga-jaga

SHAH ALAM-Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memohon maaf kerana melanggar kuarantin COVID-19 pada malam ini.

Amirudin berkata, beliau terpaksa bertindak begitu bagi menyelesaikan isu pencemaran yang memberikan kesan kepada kehidupan rakyat Selangor.

Jelas beliau, dirinya bagaimanapun bukanlah positif dan tetap mengambil langkah berjaga-jaga.

“Namun saya mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai ‘face shield’, ‘face mask’ juga kedua-dua ujian saringan saya menunjukkan keputusan negatif,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tempoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji itu.

Ia menyebabkan sebanyak 309,605 akaun pengguna di 273 kawasan bagi daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, dan Sepang mengalami masalah gangguan air tidak berjadual.

Air Selangor juga telah melaporkan insiden itu kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) serta mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP).

Menteri Air dan Alam sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga turut turut padang bersama jabatan terlibat bagi mengenal pasti punca pencemaran dan mencari jalan penyelesaian.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.