Bekal air kepada jiran, tetapi Kedah tak maju

Najmi sedang berucap dalam Sidang Dun Kedah hari ini

Laporan Rentas7  Sidang Dun Kedah

ALOR SETAR– Kedah merupakan sumber air kepada Pulau Pinang, namun negeri ini akan jauh ketinggalan berbanding negeri jiran itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigadier (B) Datuk Najmi Ahmad berkata, ini kerana, Kerajaan Pusat dikhabarkan bersetuju menyalurkan peruntukan untuk membina tiga pulau buatan di sana.

Menurutnya, Pulau Pinang akan melonjak lebih ke hadapan sedangkan keperluan asas air negeri itu datangnya dari Kedah.

“Kedudukan Kedah dan Pulau-Pinang ini saya rasa seperti dagu dengan mulut. Maknanya makanan masuk ke dalam mulut, dagu hanya tumpah mamah sahaja tetapi nikmat itu mulut yang dapat. Jadi macam itulah Kedah dengan Pulau Pinang.

“Air disalurkan ke sana, Kedah yang membantu tetapi kita Kedah apa pun tak dapat,”katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Aman hari ini.

Justeru beliau berkata, kerajaaan negeri diharap dapat merayu kepada Kerajaan Persekutuan supaya memberi pertimbangan khas menambah peruntukan kepada Kedah.

“Ia supaya negeri ini boleh bergerak dengan lebih maju serta menyaingi negeri-negeri lain,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.