40 bot nelayan ceroboh Malaysia dihalau pulang

Salah satu bot nelayan Indonesia yang diusir

LUMUT– Sebanyak 40 buah bot nelayan Indonesia menceroboh perairan negara pada kedudukan sekitar 28.5 hingga 30 batu nautika barat laut Pulau Jarak semalam.

Kesemua bot itu bagaimanapun diusir keluar oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, kesemua bot tersebut milik nelayan Indonesia yang mempunyai empat orang awak-awak termasuk tekong bagi setiap bot.

Menurutnya, semua bot yang terlibat dengan aktiviti menangkap ikan itu dikesan Kapal Maritim (KM) Rawa yang sedang melaksanakan Op Benteng di perairan negeri Perak.

“KM Rawa memberi amaran keras kepada bot-bot tersebut dan kesemuanya diarahkan untuk menghentikan aktiviti penangkapan ikan dan keluar dari perairan Malaysia.

“Kesemua bot nelayan Indonesia itu diiring hingga ke sempadan maritim Malaysia-Indonesia bagi memastikan mereka tidak berpatah balik menceroboh perairan negara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 199 bot nelayan Indonesia sejak 18 Mac lalu telah menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara dan telah diusir keluar dari perairan negara.

“Dalam tempoh ini, tindakan pengusiran bot nelayan asing dan pendatang asing tanpa izin keluar dari  perairan Malaysia adalah untuk menyekat penyebaran wabak COVID-19 19 menerusi warga asing serta membantu Kementerian Kesihatan menurunkan graf kebolehjangkitan COVID-19 19 di kalangan rakyat Malaysia,”katanya.

Rentas7/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.