Banjir kilat, tak sempat selamatkan dua motosikal

Keadaan rumah Nurul Huda yang dimasuki banjir kilat malam tadi

BALING– Banjir kilat melanda beberapa buah kampung di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kupang malam tadi.

Lebih 20 rumah terjejas dalam kejadian berkenaan.

Antaranya ialah Kampung Siputih, Kampung Jernang, Kampung Air Kepar dan, Kampung Ulu Tawar dan Kampung Malau.

Penduduk, Nurul Huda Abdul Syukur, 40, dari Kampung Ulu Tawar berkata, kampungnya dilanda banjir kilat selepas hujan lebat selama sejam pada waktu petang.

Walaupun kejadian sering berlaku katanya, namun kali ini pelbagai barangan termasuk dua buah motosikal tidak dapat diselamatkan.

Katanya, air yang mengalir masuk ke dalam rumahnya setinggi hampir satu meter.

“Air naik cepat sangat, habis saja saya solat Asar, banjir dah masuk dalam rumah. Selalu jika air naik kami sempat juga selamatkan barang-barang rumah.

“Tapi kali ini sofa pun tak sempat nak diselamatkan, malah dua buah motosikal jenis Honda Future dan Skuter, Honda Vario tenggelam di dalam stor,” katanya malam tadi.

Antara rumah yang terjejas di Ulu Tawar

Katanya juga, dua anak berusia tiga dan tujuh tahun terpaksa ditempatkan di sebuah dangau di kawasan lebih tinggi.

Dakwanya, banjir yang lebih buruk daripada kebiasaannya itu berpunca daripada tanah orang persendirian yang ditimbun.

Tinjauan mendapati, penduduk bergotong royong membersihkan rumah masing-masing.

Tiada kemalangan jiwa dicatatkan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.