Ular melingkar di bumbung rumah penduduk

Oleh: Siti Muazah Azemi

BALING– Seekor ular tedung selar dianggarkan seberat tujuh kilogram berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, (APM) Daerah Baling di Kampung Bukit Ketil, Weng, semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (Pertahanan Awam) Mohd Faizol  Ab Aziz berkata, APM menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.40 malam dan tiba ke lokasi pada jam 10.06 malam.

Menurutnya, sejurus tiba, anggota APM mendapati reptilia sepanjang tiga meter itu ditemui belingkar di bahagian rusuk bumbung rumah sebuah keluarga.

“Haiwan tersebut dipercayai keluar ke kawasan itu untuk mencari makanan, empat anggota yang dikerah ke sana mengambil masa kira-kira sejam untuk menangkap reptilia agresif itu.

Ular berkenaan berjaya ditangkap anggota APM Baling

“Reptilia berkenaan berjaya ditangkap mengunakan alat khas dan dibawa pulang ke APM Baling untuk tindakan seterusnya,”katanya.

Jelas Mohd Faizol , hampir 30 ekor ular ditangkap pada awal tahun ini dari pelbagai spesies ular.

Reptilia ditangkap dianggarkan seberat tujuh kilogram

Katanya, pihaknya menjangkakan jumlah tangkapan ular berbisa meningkat disebabkan cuaca kering dan panas yang sedang melanda negeri-negeri di kawasan utara tanah air ketika ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan keadaan sekeliling. Sebarang kecemasan boleh menghubungi APM Baling di talian 044701626 (24 jam) atau 999 untuk mendapatkan bantuan,”katanya.

Rentas7.com/Foto APM Baling

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.