TLDM gerak aset latihan ketenteraan di Laut China Selatan

Latihan TLDM di perairan Laut China Selatan semalam

KUALA LUMPUR-Lapan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyertai latihan Perang Borneo Siri 3/21 di perairan Laut China Selatan semalam.

Menerusi kenyataan Markas Pemerintahan Armada Timur, latihan itu melibatkan Kapal Armada Timur iaitu Kapal Diraja (KD) Selangor, KD Kedah, KD Sundang, KD Serang dan KD Ganas.

Menurut kenyataan, tiga lagi kapal ialah KD Yu, KD Todak dan KD Pari.

“Turut menyertai latihan kali ini adalah Helikopter Fennec TLDM serta sebuah Bot Tempur CB90.

“Eksesais Intra-TLDM ini dilaksanakan bertujuan menguji dan menilai keupayaan serta kesiapsiagaan aset Armada Timur dalam peperangan maritim terutama dalam aspek peperangan, navigasi dan ilmu kelautan,” kata kenyataan itu di Facebook hari ini.

Kenyataan berkata, latihan itu bagi menguji tahap keupayaan anggota serta aset yang beroperasi di Sabah.

“Eksesais ini turut bertujuan memperagakan kehadiran TLDM di perairan Laut China Selatan di samping menjadi platform persediaan bagi warga ‘Navy People’ yang akan menyertai Eks KerisMas yang dijangka dilaksanakan di pertengahan tahun nanti,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.