Rakyat nyata sokongan kepada Menteri Besar Kedah haram judi, had jualan arak

Azmi tengah dalam himpunan aman petang tadi

KUALA KETIL– Puluhan jemaah Masjid Madinatul Ilmi di sini mengadakan himpunan jihad dan solidariti di pekarangan masjid pada Jumaat.

Himpunan aman itu digerakkan bagi menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengharamkan arak dan lesen judi di bumi Kedah Darul Aman.

Ia disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Terasa Pengupayaan Melayu (TERAS) dan jemaah masjid selepas selesai  solat Jumaat.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, langkah diambil kerajaan negeri dapat dapat membasmi dan mengurangkan gejala arak dan judi di negeri Kedah.

“Saya kira langkah ini perlu disokong dan dibantu supaya Kedah dapat menjadi contoh.

Rakyat Kedah menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di atas tindakan mengharamkan lesen judi dan menghadkan jualan arak

“Saya berharap semua pihak termasuk ADUN baik kerajaan atau pembangkang berganding bahu supaya kita dapat merealisasikan usaha supaya gejala arak dan judi ini dapat diminimalkan sehingga akhirnya ia menjadi sifar,” katanya yang juga Presiden TERAS.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam himpunan berkenaan.

Azmi berkata, tindakan membasmi arak dan judi di negeri ini sememangnya amat ditunggu-tungu rakyat.

“Apa rasionalnya kita menyokong? Kerana sangat jelas dua perkara ini memberi mudharat kepada masyarakat.

“Mudharatnya bukan jangka pendek tetapi jangka panjang yang melibatkan keluarga dan anak-anak sebab itu kita menyatakan langkah ini sangat ditunggu oleh rakyat,” katanya.

Tegas Azmi, tidak benar menerima hujah bahawa arak dan judi adalah hak orang bukan Islam kerana berdasarkan kajiannya, ramai pemimpin agama bukan beragama Islam tidak suka dan tidak bersetuju dengan arak dan judi.

Pada 14 November lalu, Sanusi mengumumkan Kedah tidak akan memperbaharui sebarang lesen perjudian sebaik ia tamat tempoh di seluruh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain akan menghadkan jualan arak hanya untuk orang bukan beragama Islam.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.