Tiga jenazah kepala air Baling ditemukan

Keadaan kampung terlibat selepas kejadian berlaku

BALING – Kesemua tiga mangsa arus kepala air di Baling ditemui pasukan penyelamat, hari ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, semua mangsa dihanyutkan aliran kepala air ditemui tersangkut pada timbunan reba tidak jauh dari tapak rumah mereka yang dibawa arus.

“Mayat mereka dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, kejadian itu telah menjejaskan 12 buah kampung dengan melibatkan 627 mangsa manakala jumlah anggota pasukan penyelamat terlibat dalam operasi ialah seramai 250 orang.

Jelasnya, jumlah rumah rosak sedang direkodkan manakala infra rosak melibatkan jambatan, jalan raya, tebing sungai dan utiliti.

Sementara itu, jelas Sanusi, tiada tandak air masyarakat pecah hingga mengakibatkan kejadian itu.

“Berdasarkan gambar-gambar udara Jabatan Bomba dan Penyelamat, tiada tandak air masyarakat yang pecah, tetapi ditimbus pasir dan tanah yang dibawa aliran dari tanah tinggi di atas.

“Aliran air yang terkumpul membentuk alur alur besar, menunjukkan kapasiti air yang banyak terkumpul dan meluru ke bawah serentak,” katanya.

Pada kejadian semalam, penduduk terlibat dikejutkan dengan kepala air pada sebelah petang selepas hujan lebat selama tiga jam.

RENTAS7/ FOTO:Bernama

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.