Selepas terlepas Sabah, PKR mahu Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri

KUALA LUMPUR-Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap optimis untuk menyandang jawatan Perdana Menteri sekalipun Warisan Plus tumbang di Sabah.

Dalam kenyataan terbaru dikeluarkan Ketua Whip Keadilan merangkap Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul, PKR mengisytiharkan kerajaan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah “tumbang”.

Pengumuman di luar kuasa Yang di-Pertuan Agong itu mendakwa Ahli Parlimen Umno-BN telah beralih sokongan.

“Kami turut mengambil maklum bahawa dengan kenyataan bahawa ramai Ahli Parlimen UMNO BN telah beralih sokongan dan kini menyokong Dato’ Seri Anwar Ibrahim, maka jelas Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang majoriti sebagai Perdana Menteri.

“Kami memanjatkan doa agar DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah diberikan kesembuhan yang segera dan dikurniakan kesihatan yang baik.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari berkata, semua Ahli Parlimen PKR
memberi sokongan penuh kepada langkah yang diambil untuk mengembalikan mandat rakyat pada 9 Mei 2018.

Menurutnya, ia bertujuan memberi tumpuan ke arah memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesenjangan miskin dan kaya,” katanya.

Johari berkata, sokongan daripada mana-mana Ahli Parlimen harus datang dari keinginan jujur mahu menyelamatkan negara daripada krisis kesihatan dan ekonomi akibat COVID-19.

Menurutnya, negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, dinamik dan kuat.

“Komitmen terhadap keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan memelihara integriti Kerajaan yang baharu tidak akan dikompromi sama-sekali.

“Kerajaan mesti fokus memantapkan tata kelola dan melaksanakan reformasi institusi, termasuk badan kehakiman,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.