“Tarik semula kebenaran operasi gunting rambut, kedai dobi,”

SUNGAI PETANI– Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) menuntut kerajaan menarik balik kebenaran yang membolehkan perkhidmatan gunting rambut dan kedai dobi beroperasi dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus (gambar) berkata, PAMM hairan bagaimana kerajaan dengan mudah membenarkan sektor yang tidak penting dibuka ketika PKP hampir memasuki fasa ketiga.

“Adakah tiada perbincangan mendalam sebelum membuat keputusan ini? Di luar negara sudah ada yang maut akibat kluster gunting rambut.

“PAMM menuntut kerajaan menarik balik kebenaran diberikan dengan serta merta demi kebaikan semua,”katanya dalam satu kenyataan hari ini

Tambahnya, rakyat mempunyai masa yang lapang untuk membasuh baju di rumah berbanding menambahkan lagi jumlah kenderaan di jalan raya dalam tempoh PKP.

“Malah kita ingin tahu, adakah mesin basuh selamat selamat sekiranya ia digunakan individu dijangkiti COVID-19?

“Peranan pemilik dobi seperti memeriksa suhu dan menyediakan pembasmi kuman kepada pelanggan boleh elakkan perkara itu berlaku. Tetapi persoalannya, berapa ramai yang mempunyai tanggungjawab seperti itu?,”katanya.

Dalam masa sama katanya, PAMM berasa bimbang ada pihak beralasan ke kedai dobi atau kedai gunting rambut untuk melanggar PKP.

“Itu mungkin akan berlaku, jangan pelik jika ada yang ditahan memberikan alasan keluar untuk gunting rambut atau ke kedai dobi sedangkan tujuannya lain,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, rakyat dituntut mengurangkan aktiviti di luar rumah walaupun beberapa sektor baru dibenarkan beroperasi.

“Jangan keluar jika tiada urusan penting, utamakan keselamatan diri dan keluarga. Kita hampir menang berperang dengan COVID-19, jangan sia-siakan peluang ini,”katanya.

Kelmarin kerajaan mengumumkan sembilan industri dibenarkan beroperasi termasuk perkhidmatan gunting rambut dan kedai dobi.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.