Langgar pengadang jalan, ini kisah disebalik kejadian

Keadaan motosikal mangsa

SUNGAI PETANI-Lelaki cedera apabila motosikal ditunggangnya melanggar tembok pengadang jalan.

Kejadian berlaku di jalan Bukit Selambau- Jambatan Kuala Lesung pada Sabtu minggu lalu dan video insiden itu tular di media sosial.

Sekatan itu dibuat berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan seluruh Semenanjung ketika ini.

Pemilik suara dalam video berkenaan berkata, kejadian berlaku pada awal pagi.

Dengan nada marah lelaki itu memaklumkan bahawa tiada lampu di pasang pada tembok berkenaan menyebabkan kemalangan terhadap rakannya yang juga kakitangan hospital.

Rakaman menunjukkan penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan yang serius di bahagian lutut.

Akibat pelanggaran kuat, motosikal mangsa turut remuk di bahagian depan.

“Lutut pun pecah, nampak tak? Ini kerja orang bengong.

“Depa buh kon simen tapi depa tak buh lampu.Kita bukan nak salahkan kerajaan, dak (tak).

“Tapi buat bagi kena pada rakyat. Nampak tak ni, berselarak berteraboq ni,” katanya.

Lelaki itu turut menunjukkan keadaan sekitar sekatan yang gelap tanpa lampu.

“Dengan lampu tak dak, lampu kecemasan.. depa ni betul-betul buat kerja gila. Sepatutnya depa kena bubuh (letak) satu lampu di sini.

“Ni tak kena ke menteri, tak kena ke anak depa. Kalau kena ke menteri siap!,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian berlaku kira-kira 6.30 pagi membabitkan seorang pembantu Pegawai Perubatan Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani.

Dalam insiden itu, beliau berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Felda Teloi Kanan menghala Sungai Petani.

Beliau berkata, mangsa yang tiba di lokasi berdekatan Jambatan Kuala Lesong didapati tidak sempat membrek lalu merempuh pengadang jalan, mengakibatkan kecederaan parah di lututnya.

Mengulas kejadian itu beliau berkata,
terdapat papan tanda “Awas dan “Jalan Ditutup” telah diletakkan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, polis turut mendapati lima lagi papan tanda yang diletakkan sepanjang jalan sebelum tiba di bahagian kepala jambatan yang ditutup.

“Akibat jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat menekan brek dan terus merempuh pembahagi jalan itu sehingga mengalami kecederaan parah impak pelanggaran kuat.

“Polis mendapati terdapat papan tanda ‘Awas’ dan papan tanda pemakluman ‘Jalan Ditutup’ di jalan dari arah Baling iaitu lebih kurang satu kilometer sebelum jalan yang ditutup itu,”katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Papan tanda “Awas ” dan papan tanda “Jalan Ditutup” telah diletakkan sebelum penutupan jalan

Beliau berkata, hasil siasatan, mangsa telah melepasi jalan yang ditutup di kepala jambatan yang hanya dibuka untuk penunggang motosikal.

Menurutnya, mangsa juga mengakui lalai walaupun menyedari halangan kedua yang hanya dibuka untuk laluan motosikal menyebabkan berlakunya kemalangan tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Rentas7.com/ Foto: ehsan pembaca

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.