Suara dari lembah harapan membina semula jati diri

Pelajar IPT dan sekolah mengikuti program berkenaan

 

PENGKALAN CHEPA – Seramai 200 penghuni muda lelaki dan perempuan berumur 24 tahun ke bawah dari 36 institusi Jabatan Penjara Malaysia diberi peluang untuk mengetengahkan bakat dan hasil karya mereka dalam Program Pertandingan Suara Dari Lembah Harapan kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan Pertandingan telah diadakan melalui kaedah penyertaan dan penilaian rakaman video persembahan yang dihantar kepada DBP mulai 17 Jun 2022 sehingga 18 Julai 2022.

Empat (4) kategori dipertandingkan iaitu persembahan teater, deklamasi sajak, nyanyian lagu puisi dan baca naskhah yang mana juara setiap kategori mempersembahkan karya masing-masing pada Majlis semalam.

Majlis Perasmian Penutupan Program Suara Dari Lembah Harapan turut dihadiri oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Dato’ Haji Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Yang Teramat Mulia Tengku Puan Temenggong Kelantan Tunku Puan Sri Dato’ Hajjah Noor Hayati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, sebagai tanda sokongan terhadap aktiviti keilmuan yang menjadi teras pembangunan bangsa khasnya dalam usaha pemulihan penghuni untuk menjadi modal insan yang mempunyai jati diri yang kukuh dengan harapan mereka dapat berbakti semula kepada masyarakat dan negara.

YBhg. Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan & Koreksional) Dato’ Haji Abdul Aziz Abdul Razak ketika berucap kepada 350 hadirin yang terdiri daripada para pelajar sekolah dan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) berdekatan berkata, program ini adalah selaras dengan visi Jabatan Penjara Malaysia sebagai Peneraju Perkhidmatan Korektif dengan hasrat menjadikan penjara sebagai persekitaran yang sihat, banduan yang boleh berkomunikasi dan mewujudkan budaya manusia
beradab dalam menjadikan penjara Pusat Pembangunan Ketamadunan Budaya Kemanusiaan.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa & Pustaka juga memaklumkan bahawa program ini bermatlamat untuk mendekatkan penghuni kepada sastera yang diakui berupaya mendidik jiwa dan membina keinsanan manusia, sekaligus menyokong peranan penjara memberikan program pemulihan yang bersesuaian kepada penghuni dan usaha Jabatan Penjara untuk menjadikan institusi tersebut sebagai Pusat Pembangunan Ketamadunan Budaya
Kemanusiaan.

Aktiviti-aktiviti yang diadakan melalui program ini bukan sahaja dapat melahirkan penghuni yang berbakat, bahkan juga melahirkan harapan dalam diri penghuni untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa diri mereka boleh “dibina semula” dan dipulihkan.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.