YB Dato' Najmi merasmikan Liga Futsal Belia-Belia Masjid Dun Kupang
Laporan: Bostaman Musa
KUPANG- Usaha menghidupkan peranan masjid sebagai pusat pembinaan masyarakat menyeluruh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang Kedah Darul Aman, Brigedier Jeneral (Bersara) YB Dato’ Haji Najmi Hj Ahmad, mencipta sejarah apabila memperkenalkan Liga Futsal Belia-Belia Masjid DUN Kupang.
Inisiatif julung kali diadakan di negeri ini dan mungkin yang pertama seumpamanya di Malaysia, bahkan dunia.
Liga tersebut menghimpunkan 12 pasukan belia dari masjid-masjid seluruh DUN Kupang, bertujuan memperkukuh silaturrahim, menyemarakkan semangat berpasukan, serta mendekatkan anak muda dengan institusi masjid.
Sebelum kejohanan bermula, pemimpin berkenaan terlebih dahulu mengimami solat Isya’ berjemaah bersama para peserta, diikuti dengan penyampaian tazkirah ringkas sebagai peringatan rohani.
YB Dato’ Hj Najmi berkata, idea penganjuran liga ini tercetus hasil cadangan dan kerjasama erat antara anak-anak muda dan Ahli Jawatankuasa Masjid Ehsaniah Kupang, bersama bimbingan Ustaz Mohd Zaid Ab Mokti.
“Saya melihat ini sebagai satu lonjakan baru dalam usaha menggembleng peranan masjid yang bukan hanya sebagai tempat ibadah, tetapi pusat pembinaan identiti sosial dan transformasi budaya dalam kalangan generasi muda.
YB Dato’ Hj Najmi mahu masjid menjadi nadi kehidupan manusia dalam segenap aspek
“Kita mahu masjid menjadi nadi masyarakat, merangkumi semua aspek kehidupan termasuk sukan,” jelas beliau kepada media ketika merasmikan kejohanan tersebut di Kompleks Rakan Muda Baling, malam tadi.
Antara penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan masjid mereka
Tambah beliau lagi, liga ini bukan hanya berlangsung atas semangat kompetitif semata-mata, tetapi sebagai wahana pengukuhan peranan institusi agama dalam membina sistem sokongan sosial yang menyatu padukan elemen spiritual, fizikal dan komuniti.
“Saya mahu belia bukan hanya datang ke masjid untuk solat, tetapi merasa masjid adalah milik mereka iaitu tempat mereka aktif, kreatif dan membina masa depan. Inilah dakwah yang segar dan praktikal,” katanya.
Imam Masjid Kupang, Ustaz Muhammad Fahmi Mat Lazim menyampaikan hadiah sagu hati kepada pemain
Menurutnya lagi, liga ini menjadi model yang boleh dicontohi oleh DUN lain, negeri lain, bahkan negara lain dalam memperkasa peranan masjid melalui pendekatan yang inklusif, berstrategik dan relevan dengan keperluan semasa.
Kejohanan ini secara tidak langsung mencungkil bakat-bakat sukan dalam kalangan belia
Sementara itu, Mohd Zaid berkata liga ini tidak harus terhenti di peringkat tempatan sahaja, bahkan berpotensi dikembangkan ke peringkat negeri, nasional dan antarabangsa.
“Mungkin selepas ini akan ada wakil masjid daripada Indonesia, Brunei, Thailand, mahupun Palestin dalam penganjuran yang bakal datang.
Ustaz Mohd Zaid kanan mahu memperluaskan lagi liga masjid ke peringkat lebih tinggi
“Siapa tahu? Walaupun bukan mudah, tetapi usaha tetap perlu. Kita tidak mahu bercakap soal sukan semata-mata, tetapi pertukaran budaya, ukhuwah dan jalinan ummah yang lebih luas,” katanya.
Tambah Mohd Zaid, bola sepak padang melibatkan masjid-masjid di Kupang bersama YB Dato’ Hj Najmi bakal dianjurkan pada Ogos depan.
Pasukan pemenang menerima hadiah dan pingat emas
“Selepas selesai bola sepak padang sempena Bulan Kemerdekaan Ogos depan, kami merancang adakan pula Liga Badminton Masjid pada Oktober tahun ini.
Liga julung kali diadakan ini mendapat sambutan hangat anak muda
“Saya berharap usaha kami mendapat sokongan daripada semua pihak khususnya badan-badan berautoriti,”katanya.
Kejohanan ini dikelola oleh pihak urusetia yang berpengalaman
Kejohanan tersebut menyaksikan penyertaan penuh semangat daripada belia-belia masjid sekitar DUN Kupang dan dijangka akan menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan.
Khidmat dua pengadil profesional digunakan dalam kehohanan ini
Liga Futsal Belia-Belia Masjid Dun Kupang dianjurkan YB Dato’ Hj Najmi bersama Masjid Ehsaniah Kupang dan pertubuhan GENKITA.
Leave a Reply