Sokong Belanjawan 2021 bukti PN utamakan rakyat

Belanjawan 2021 lulus dengan sokongan padu Ahli Parlimen kerajaan

KUALA LUMPUR-Kebajikan rakyat menjadi keutamaan seluruh Ahli-ahli Parlimen kerajaan Perikatan Nasional (PN) apabila menyokong penuh bacaan kali ketiga Belanjawan 2021 hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sokongan padu ini membuktikan kerajaan PN sentiasa mengambil kira kebajikan, keselamatan nyawa, kesejahteraan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara dalam apa sahaja tindakan yang diambil.

“Pendirian ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini turut membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan ancaman COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan malam ini.

Muhyiddin berkata, keputusan itu membuktikan ahli-ahli Parlimen yang menyokong menyedari dan menginsafi bahawa belanjawan ini sangat penting kepada kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan yang sudah dirancang.

Menurutnya, keutamaan sudah tentunya untuk melawan pandemik COVID-19 serta meningkatkan taraf hidup rakyat terutama golongan B40, M40, golongan rentan serta golongan kurang bernasib baik.

“Pendirian ahli-ahli Parlimen yang menyokong belanjawan ini turut membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mahu belanjawan ini diluluskan tanpa gangguan lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang berhadapan dengan ancaman COVID-19.

“Saya harap ahli-ahli Parlimen dapat terus memberikan khidmat yang terbaik untuk rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua Ahli Parlimen yang menyokong Belanjawan kali ini.

“Alhamdulillah, saya sekali lagi melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT apabila Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 diluluskan oleh Dewan Rakyat hari ini.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang telah menyokong Belanjawan 2021 dari peringkat dasar, peringkat jawatankuasa sehingga kepada bacaan kali ketiga.

“Saya juga ingin merakamkan rasa terima kasih kepada semua Ahli Parlimen kerajaan yang turut menyokong rang undang-undang ini ketika dibahaskan pada peringkat 27 kementerian sehingga diluluskan sama ada menerusi undian suara atau belah bahagi,”katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang ikhlas mendoakan agar Belanjawan 2021 diluluskan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.