Serabut, kelam kabut dan takut

Datuk Mustaffa Idrus

 

SUNGAI PETANI-Rakyat kini bingung, cemas, rimas, gelabah, resah, serabut dan takut dengan suasana politik yang berkocak dan kelam kabut.

Pengerusi Perhubungan Awam Parti Warisan Malaysia Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, sikap pemimpin politik pada hari ini melampau, keras kepala, bongkak, berlagak dan sombong.

“Seolah-olah mereka sangat kuat dan berkuasa kononnya mereka daripada parti politik paling kuat dan berpengaruh.

“Gelagat, perangai dan tingkahlaku mereka seolah menjadikan parti politik sebagai pertubuhan ‘mafia’,”katanya.

Beliau berkata, desakan, tekanan, ugutan, ancaman untuk bubarkan Parlimen yang mempengaruhi penyokong, penjilat dan pentaksub oleh “bos-bos mafia” dalam kalangan kluster mahkamah.

“Apakah motif sebenarnya? Apakah yang mendorong, menghasut dan “membisik” sehingga hilang pertimbangan, rasional, justifikasi dan merit hingga terdesak.

“Ia seolah ada muslihat yang dianggap rakyat “tak terbaca” untuk mencapai “konspirasi” yang hanya mereka saja yang ketahui dan memahami.

“Lebih 85% rakyat menentang jika Parlimen dibubarkan bermakna PRU 15 akan diadakan pada musim tengkujuh yang diramalkan akan berlaku banjir.

“Bukan setakat agensi kaji cuaca Malaysia saja bahkan Amerika Syarikat juga membuat ramalan yang sama. Alasan PRU sebelum ini pernah dibuat pada bulan November 1999 tiada masalah.

“Alhamdulillah, tiada masalah. Apakah jaminan kali ini jika diadakan juga tiada masalah?,”katanya.

Mustaffa yang juga Naib Pengerusi 1 Parti Warisan Negeri Kedah berkata, pembentangan Bajet 2023 menunggu persetujuan Dewan Rakyat untuk diluluskan.

“Jika Dewan Rakyat dibubarkan bermakna Budget 2023 tertangguh tak sempat dibahas oleh ahli-ahli Parlimen.

“Kekecohan, kekalutan dan keserabutan yang menimbulkan kegelisahan, kecelaruan dan tidak tenteram baru saja memasuki fasa pemulihan kehidupan normal setelah terkurung kerana covid-19 membantutkan kegiatan ekonomi dan sosial rakyat.

“Kini rakyat diancam pula dengan ” bencana politik” yang ditimbulkan oleh “culprit politik” yang “menggila” tanpa menghirau kepentingan rakyat.

“Rakyat sepatutnya meneliti, menganalis dan menilai terhadap pemimpin dan kepimpinan mereka yang bongkak, sombong dan “keras kepala” kerana parti terbesar dan berpengaruh menunggang sokongan ahli bawahan” untuk kepentingan diri, kroni dan proksi,”katanya.

Katanya, ahli bawahan terutamanya golongan B40 akan dijadikan “undi poket” yang diumpan dengan “dedak”, subsidi dan bantuan.

“Apa yang mereka bagi hanya “kuah” untuk dihirup dan mereka perolehi “isi” turut kenyang proksi dan kroni.

“Rakyat terutamanya Melayu kini dihidangkan dengan tiga bentuk fahaman dan doktrin yang menjadi juadah politik.

“Terpisah dalam segregasi dalam rejimen parti politik berasaskan demokrasi.

“Di antaranya ialah memperalatkan nasionalis kebangsaan, agama dan berpegang kepada konsep liberal dan sekular.

“Semua parti politik dominasi Melayu meletakkan bangsa dan agama sebagai teras perjuangan.

“Namun pelaksanaan dan amalan tidak selari dengan “kenyataan polisi” parti politik yang mereka kuasai,”katanya.

Menurutnya, terdapat satu lagi segmen Melayu yang tidak terpengaruh dengan mana-mana parti politik adalah kumpulan atas pagar.

“Mereka akan menyokong parti politik yang dianggap dapat memberi kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat dan negara.

“Mereka adalah segmen yang akan menentukan keputusan pilihanraya.

“PRU 14 adalah cerminan lakonan parti dan pemimpin politik dipersembahkan kepada rakyat untuk, meneliti, menganalis dan menilai keberkesanan perangai, tingkah laku dan watak.

“Rakyat boleh menggunakan kuasa “hujung jari” untuk memilih siapakah yang selayaknya untuk mewakili di kawasan mereka

” Rakyat yang bijak tidak akan muda terpengaruh dengan sumpah dan janji. Manis bibir mengukir senyum, selembut lidah ucapan bermadah dapat membezakan ‘madu dan racun’,”katanya

Tegasnya, rakyat sekarang semakin peka dan waspada.

“Banyak auta daripada fakta. Cyber trooper bertungkus lumus menyebar berita kerana “fulus” sukar membezakan realiti dan falasi.

” Dunia akhir zaman dipenuhi fitnah “Dajjal” mata satu. Ada mata tetapi buta, ada telinga tetapi pekak, ada mulut celupar dan ada hati mati. Rakyat hanya dua pilihan kepimpinan Nabi Muhammad SAW atau kepimpinan Firaun. Jalan kebenaran atau Kemungkaran,”katanya.

 

*Kenyataan bertulis asal dikongsi Mustaffa Idrus

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.