Seludup daging haram, jangan bagi seorang pun terlepas!

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Jangan biar mana-mana individu atau pihak yang terlibat dengan penyeludupan daging haram di negara ini terlepas.

Tuntutan itu dibuat Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM) yang mahu penjenayah penyeludupan daging haram di negara ini diheret segera ke muka pengadilan.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, semua pihak baik pemimpin, pegawai, sehinggalah kepada pemandu kontena perlu disiasat.

“Siasat sampai ke lubang cacing! Jangan bagi seorang pun terlepas. Daripada ‘jerung’ sampailah ‘bilis’ wajib diheret ke muka pengadilan.

“Mereka perlu diberi hukuman berat kerana jenayah yang dilakukan ini amat besar dan mencalarkan maruah umat Islam,”katanya hari ini.

Beliau berkata, penyeludupan besar-besaran tidak akan berlaku jika bukan kerana rasuah yang berleluasa.

“Sekiranya semua pihak jujur, amanah dan telus dalam pekerjaan, pengkhianatan seperti ini tidak akan berlaku.

“Kita sangat kesal apabila daging haram bukan saja diseludup tetapi dibiarkan masuk hingga ke pasaran tempatan,”katanya.

Justeru katanya, kerajaan juga dituntut melalukan rombakan menyeluruh terhadap jabatan dan agensi di bawahnya.

“Semua pegawai dan kakitangan agensi dan jabatan perlu dirombak. Usah biarkan perkara seumpama ini berulang,”katanya.

Pada 1 Disember lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam operasi bersepadu berjaya merampas 1,500 tan daging sejuk beku dari sumber diragui di sebuah gudang di Johor.

Kebanyakan daging ‘halal’ berkenaan diseludup dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kesemua daging itu dibungkus semula dengan logo halal sebelum dijual ke seluruh pasaran Malaysia.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.