“Sejadah yang rapat, jemaah takut-takut”

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu ( PAMM) Negeri Kedah menuntut umat Islam di negara ini supaya merapatkan saf mengikut ajaran Islam.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, sebilangan jemaah dilihat masih ‘takut-takut’ merapatkan saf walaupun kebenaran untuk solat tanpa jarak telah dibenarkan kerajaan pada 1 April lalu.

“Masih ramai yang tidak merapatkan saf seperti apa yang telah digariskan oleh ulama iaitu merapatkan bahu dan kaki di antara jemaah.

“Sebaliknya apa yang berlaku hanya sejadah yang rapat dan bukannya jemaah. PAMM menegur supaya kita tidak terpedaya dengan arus duniawi yang banyak tipu daya,”katanya.

Mustaffa berkata, umat Islam sepatutnya bersyukur setelah solat sudah boleh dilakukan tanpa jarak dengan cara solat seperti digariskan agama.

“Setelah kita dipisahkan selama dua tahun solat satu dan dua meter, kini sepatutnya kita gunakan peluang dibenarkan solat rapat dengan ikut cara Islam sebenar.

“Kita perlu muhasabah dengan apa yang berlaku sebelum ini, mungkin Allah menghantar wabak COVID-19 kerana sebelum ini pun saf dalam solat tidak dirapatkan betul-betul.

“PAMM menyeru supaya setiap masjid dan surau termasuk mufti dan para agamawan memberikan kesedaran kepada masyarakat.

“Isi ini walaupun nampak remeh tetapi sebenarnya memberikan impak kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara,”katanya.

Tambah Mustaffa, kepentingan merapatkan saf disebut dalam banyak hadis-hadis sahih dan ia sunnah yang dianjurkan Nabi Muhammad S.A.W.

“Maksud hadis riwayat Nu’man bin Basyir (Hadis riwayat Abu Daud, 1/178) : Rasulullah SAW menghadap kepada manusia, lalu berkata, “Dirikanlah saf (tiga kali). Demi Allah SWT, dirikanlah saf atau Allah SWT akan membuat perselisihan diantara hati kalian”. Lalu An-Nu’man bin Basyir berkata: “Saya melihat seorang lelaki menempelkan kakinya dengan kaki orang disebelahnya, lutut dengan lutut dan bahu dengan bahu,” katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.