Sanusi bayangan Allahyarham Ustaz Azizan

ALOR SETAR– Pelantikan Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar Kedah yang baru mengingatkan ramai kepada Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris (gambar kanan) berkata, Muhammad Sanusi umpama bayangan kepada bekas Menteri Besar tersebut.

“Muhammad Sanusi yang juga ADUN Jeneri dan Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kedah  mendapat asuhan langsung daripada Allahyarham Ustaz Azizan selama lima tahun (2008-2013).

“Jika legasi Allahyarham Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di sambung oleh Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob, didikan Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abd Hadi Awang melahirkan Datuk seri Ahmad Samsuri Mokhtar di Terengganu, di Kedah pula Sanusi adalah bayangan ketokohan Ustaz Azizan,”katanya hari ini.

Beliau berkata, pemilihan Muhammad Sanusi sebagai Menteri Besar amat tepat kerana pemimpin berkenaan mempunyai pengalaman yang luas dalam dunia politik.

“Sepanjang bersama sebagai ADUN yang mengetuai pembangkang Kedah, Sanusi mempunyai kemampuan untuk berhujah, menguasai isu-isu semasa.

“Pengalamannya selama lima tahun sebagai Setiausaha politik Allahyarham Ustaz Azizan memberi kelebihan kepadanya menguasai asam garam politik dan pentadbiran kerajaan negeri,”katanya.

Muhammad Sanusi,46, hari ini mengangkat sumpah dan menerima watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-14 kira-kira jam 3.05 petang di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.