Rokok seludup bernilai RM368,848.00 dirampas

Pihak APMM Kelantan menunjukkan rokok yang dirampas

PASIR PUTEH– Rokok seludup bernilai RM368,848.00 dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kelantan kelmarin.

APMM dalam kenyataan berkata, rokok putih berkenaan dirampas dalam satu Op Khas yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Maritim Negeri Kelantan.

Menurutnya, dalam operasi itu, anggota APMM yang menggunakan bot samaran telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan pada jarak satu batu nautika dari muara Kuala Senok pada jam 11.10 malam.

“Pasukan ini seterusnya mengekori bot berkenaan sehingga bot berkenaan merapat di tebing sungai Pengkalan Datu.

“Menyedari diekori pegawai dan anggota Maritim Negeri Kelantan, kru bot melarikan diri ke dalam hutan paya bakau berhampiran dan meninggalkan bot mereka,”katanya.

Kenyataan berkata, pemeriksaan di kawasan sekitar mendapati, terdapat enam kenderaan pelbagai guna (MPV) berada berhampiran dan kenderaan ini disyaki digunakan untuk mengangkut rokok yang dibawa masuk.

“Kenderaan tersebut dipercayai turut ditinggalkan apabila menyedari kegiatan mereka disedari penguat kuasa.

“Bot dan enam kenderaan MPV didapati membawa dua jenis rokok dengan paket berwarna hijau (satu paket 20 batang) berjumlah 1,010,000 batang manakala paket berwarna hitam (satu paket 22 batang) berjumlah 834,240 batang menjadikan jumlah rokok dirampas sebanyak 1,844,240 batang.

“Rokok putih yang dirampas dianggar bernilai RM368,848.00 manakala nilai cukai pula dianggarkan RM1,254,083.20. Nilai rokok dan cukai berjumlah RM1,622,931.20.

“Nilai bot dan enam MPV pula dianggar berjumlah RM758,000. Ini menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM2,380,931.20,”katanya.

Kenyataan berkata, satu paket kecil disyaki dadah jenis syabu beserta peralatan mengisap dadah turut ditemui dan dirampas.

Kesemua rokok putih, sebuah bot dan enam MPV yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan,”katanya.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Rentas7.com/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.