Hapus judi dan arak langkah sejahterakan rakyat

Mejar B Mansor Zakaria sedang berucap dalam himpunan aman pada Jumaat

KUALA KETIL– Masalah sosial berpunca judi dan arak bukan hanya melibatkan satu-satu kaum tertentu sahaja tetapi semua bangsa yang ada dalam negara ini.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar ( B) Mansor Zakaria menuntut supaya rakyat sedar dan memahami bahawa langkah diambil kerajaan negeri untuk membendung permainan judi dan minimum arak adalah untuk mensejahterakan semua rakyat negeri ini.

Beliau berkata, aktiviti judi ini bukanlah rasis atau bersifat perkauman kepada kaum tertentu, tetapi gejala tidak sihat ini melibatkan semua kaum sehingga akhirnya membawa kepada lahirnya kes-kes jenayah dalam negara ini.

“Kita buat kenyataan ini untuk mensejahterakan rakyat bukan atas dasar rasis atau perkauman, ini yang kita mahu nyatakan hari ini. Ramai orang Islam yang main judi dan minum arak. Bangsa lain pun ada, bangsa Cina pun ada, Orang Asli pun ada, semua bangsa terlibat dengan masalah arak dan judi ini,” katanya dalam himpunan jihad dan solidariti menyokong Menteri Besar Kedah mengharamkan lesen judi dan menghadkan jualan arak.

Terdahulu, puluhan jemaah termasuk pertubuhan bukan kerajaan menyertai himpunan aman yang diadakan di pekarangan Masjid Madinatul Ilmi selepas solat Jumaat.

Himpunan yang dibuat mengikut prosedur operasi standard itu hanya dibenarkan penyertaan seramai 50 orang oleh pihak berkuasa bagi membendung penularan wabak Covid-I9.

Tegas Mansor, dengan menutup judi sekalipun, ekonomi di negeri Kedah tidak akan sesekali terjejas bahkan lebih banyak pelaburan yang akan masuk ke negeri ini.

“Bukanlah semata-mata judi memberikan pelaburan yang tinggi, ini bukan satu kenyataan yang tepat, Jika ditutup pelaburan tetap akan masuk. Bangsa asing, Mat Salleh yang masuk ke negara ini, dia tidak akan mencari arak di tempat kita kerana negara dia lebih banyak arak. Dia tidak akan berjudi di tempat kita kerana negara dia lebih banyak judi lagi.

“Tak perlulah kita melayan satu pendapat satu karenah yang tidak cukup tidak popular untuk memutar belitkan pemikiran kita. Jika depa nak hiburan, tempat depa lebih banyak hiburan. Tak perlu datang ke Kedah, tak perlu datang ke Malaysia,’ katanya.

Mansor menegaskan, bukan semua orang yang boleh mengambil tindakan seperti mana dilakukan Muhammad Sanusi dan sudah pasti keputusan pengharaman lesen arak dan menghadkan jualan arak adalah satu tindakan yang berani oleh Menteri Besar Kedah.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.