Aspirasi jelajah Keluarga Malaysia di Terengganu labuh tirai

KUALA TERENGGANU, 4 Jun 2022 – Semangat kebersamaan antara Kementerian, Agensi dan Kerajaan Negeri dalam penganjuran siri keempat Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Terengganu telah menarik kehadiran melebihi 21,745 Keluarga Malaysia setakat pukul 11.00 pagi.

Majlis Perasmian Penutupan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob siang tadi.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu,
Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

JAKM yang diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021 lalu.

Negeri Terengganu merupakan lokasi keempat bagi siri JAKM selepas di Johor, Perlis dan Sabah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ialah kementerian peneraju bagi jelajah ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu selaku tuan
rumah dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) merupakan penyelaras utama program ini.

Sekretariat Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia dalam kenyataan berkata, sepanjang tempoh tiga hari penganjuran, pelbagai program menarik dan bermanfaat telah disediakan bertujuan untuk memupuk penghayatan rakyat terhadap pengertian Aspirasi Keluarga Malaysia.

“Antaranya penerangan dan tawaran perkhidmatan langsung Kerajaan, sesi bimbingan usahawan serta pemberian bantuan dan insentif.

“Sebanyak 28 reruai (booth) kaunter perkhidmatan telah mengambil bahagian pada siri JAKM kali ini melibatkan pelbagai Kementerian, Agensi dan Kerajaan Negeri.

“Pada masa yang sama, sebanyak 13 kaunter perkhidmatan bergerak antaranya seperti dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Pusat
Keluarga Bergerak (PKB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Klinik Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia, telah disediakan kepada Keluarga Malaysia yang hadir,”kata kenyataan.

Kenyataan berkata, penglibatan 110 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan program padanan perniagaan dalam siri jelajah ini turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan tempatan.

“Sebanyak RM 4 juta jualan berjaya direkodkan sehingga 4 Jun 2022, pukul 10.00 pagi.

“JAKM Terengganu melalui Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah bekerjasama dengan 89 syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan sebanyak 13,431 kekosongan jawatan untuk manfaat Keluarga Malaysia.

“Seramai 2,771 orang peserta telah dipanggil menghadiri temu duga, 1,476 orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon dan 454 orang telah berjaya ditawarkan pekerjaan.

“Jualan Keluarga Malaysia turut diadakan dengan tawaran potongan harga lebih rendah daripada harga pasaran bagi barangan keperluan harian selain program seperti Zikir Berkah Terengganu Berselawat, pertandingan e-sukan (e-sports), sukan rakyat, Pertandingan Bintang Patriotik dan banyak lagi.

“Siri jelajah ini akan diteruskan di seluruh negara dengan segmen perkhidmatan yang sama bagi memenuhi keperluan rakyat dan membantu penghayatan terhadap pengertian Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

“Penganjuran jelajah ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyumbang kepada rakyat melalui penganjuran program yang berfokuskan kepada kemudahan perkhidmatan secara langsung sekaligus menjamin keharmonian serta kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia,”katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.