Rakyat Malaysia dedah penindasan China terhadap umat Islam Uighur

 

XINJIANG– Hanya etnik Uighur yang berumur lebih daripada 55 tahun dibenarkan bersolat dalam masjid.

Pendedahan itu dibuat seorang rakyat Malaysia, Zikri Fuad yang berkesempatan berada di Xinjiang selama 17 hari bersama enam rakan lain.

Mereka ketika itu menyertai misi menunaikan ibadah Haji dari Malaysia ke Makkah menaiki pacuan empat roda pada tahun 2017.

“Saya, saudara Hj Jasmi Jantan dan isterinya Bunga Jasmine, Hj Khir Ariffin, saudara Hj Mohd Ixam, Hj Shahuri dan dua orang lagi bersama kembara ini,”katanya menerusi Facebooknya semalam.

Zikri dari kanan bersama kumpulan konvoi di Xinjiang

Dedah Zikri, umat Islam di Xinjiang ditindas secara sistematik oleh pemerintah China dan konvoi mereka yang berada di sana turut merasai pengalaman dasyat itu.

“Alhamdulillah terbaca fasal ada seorang pemain bola muslim keturunan Turki dalam Liga Inggeris, yang menyatakan berkenaan penindasan ke atas Muslim di Xinjiang.

“Ya betul, dan penindasan berlaku secara sistematik, dan kami sendiri merasa tempiasnya walaupun hanya 17 hari di sana,”katanya.

Zikri dua kanan bergambar bersama rakan-rakan di salah sebuah masjid

Zikri berkata, mereka pada mulanya tidak dibenarkan masuk untuk bersolat di semua masjid di kawasan tersebut.

Ini kerana katanya, mereka perlu mendapatkan permit memasuki masjid terlebih dahulu di mana permohonannya perlu dibuat beberapa minggu sebelum itu.

“Hanya mereka yang tua, berumur lebih 55 tahun, boleh masuk masjid untuk tunaikan solat waktu, itupun dengan kebenaran polis dan ada polis bersenjata mesingan dan mesin “scanner” di setiap pintu masuk masjid.

“Setelah hampir lima masjid kami jalan kaki, dengan izin ALLAH, dan usaha tekad dan doa, kami berjaya diskusi dengan ketua pegawai keselamatan di salah satu masjid untuk solat jemaah Asar di situ.

“Itupun masuk waktu solat, solat jemaah dan lepas tu balik cepat cepat,”katanya.

Tambahnya lagi, selain diskrimasi terhadap kewajipan umat Islam Uighur untuk bersolat, etnik itu turut dinafikan hak sebagai rakyat negara berkenaan.

“Allahu… Innalillah wainna ilaihi rojiun. Itu belum cerita tak boleh puasa, kamera kami kena rampas, penduduk sini rumah kena roboh, tak boleh amalkan Islam, tak boleh dapat passport… tak boleh macam-macam lagi,”katanya.

Zikri turut berkongsi beberapa keping gambar masjid  yang terletak bandar Urumqi.

Katanya, ada diantara masjid-masjid itu telah berusia lebih 700 tahun, dibina sebelum kerajaan Khalifah Uthmaniyah.

Untuk rekod, Xinjiang ialah wilayah autonomi terletak di barat laut China di kawasan padang pasir dan gunung yang luas.

Kawasan itu didiami oleh banyak etnik minoriti termasuklah orang Uyghur Turki dan merupakan Laluan Sutera, iaitu jalan perdagangan menghubungkan China ke Timur Tengah pada masa lampau.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.