Najib akan sumpah laknat Jumaat ini

 

KUALA LUMPUR- Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan sumpah laknat berhubung dakwaan mengaitkannya dengan pembunuhan rakyat Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

“Saya berhasrat melakukan sumpah laknat menafikan dakwaan yang terkandung dalam Akuan Bersumpah (SD) yang dikeluarkan Azilah Hadri.

“Sumpah laknat ini akan saya buat di Masjid Jamek Kampung Baru di ibu negara sejurus selepas Solat Jumaat minggu ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, media melaporkan bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) PDRM Azilah Hadri membuat pengakuan melalui SD yang mengaitkan Najib dan kenalannya Razak Baginda dalam kes berkenaan.

Dalam SD itu, Azilah mendakwa Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri pada 17 Oktober 2006 memberikan arahan secara lisan membunuh wanita yang menurutnya diberitahu sebagai “perisik asing” dan berbahaya kepada “keselamatan negara”.

Azilah dan seorang lagi pegawai polis, Sirul Azhar Omar disabitkan oleh Mahkamah Tinggi pada tahun 2009 kerana membunuh Altantuya Shaariibuu pada 2006.

Mereka berjaya mengetepikan sabitan itu di peringkat Mahkamah Rayuan pada 2013.

Pada tahun 2015 Mahkamah Persekutuan memutuskan untuk mengekalkan sabitan dan hukuman mati berkenaan.

Sebelum Mahkamah Persekutuan mengumumkan keputusan tersebut, Sirul telah melarikan diri ke Australia.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.