Abdul Hadi tuntut media tidak bertanggungjawab ditangani

Kedua-dua pemimpin ini bertemu hari ini

KUALA LUMPUR-Media yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat perlu ditangani secara berhemah.

Isu itu antara dibincangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sewaktu membuat kunjungan hormat bertema ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hari ini.

“Kunjungan hormat ini untuk berkongsi pandangan terhadap Dasar Manhaj Rabbani yang bakal menjadi model tadbir urus di peringkat Persekutuan.

“Saya turut melontarkan pandangan supaya diIslamkan ilmu dalam sektor pendidikan dan ditangani media yang menyebarkan perkara negatif kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemikiran masyarakat yang mahu memodenkan Islam tanpa mengikut tuntutan agama juga perlu ditangani.

“Selain itu, cabaran pemikiran di kalangan masyarakat yang berusaha untuk memodenkan Islam sehingga menghalalkan perkara yang diharamkan seperti riba atau menyamakan pembahagian harta pusaka antara lelaki dan perempuan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi merakamkan setinggi penghargaan kepada Dr. Zulkifli yang sudi menjemput rombongannya ke pejabat.

“Saya juga sempat beramah mesra dengan pegawai-pegawai di Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Ustaz Datuk Haji Ahmad Marzuk Bin Shaary,” katanya.

Beliau mendoakan usaha semua pihak memartabatkan Islam beroleh keberkatan ALLAH.

“Semoga segala usaha Menteri, Timbalan Menteri bersama para pegawai dan agensi-agensi kerajaan dalam usaha mengangkat dan memartabatkan Islam di Malaysia diberikan keberkatan dan pertolongan oleh Allah SWT,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.