Punca Kluster Sivagangga dan Kurau cepat merebak telah diketahui..

Datuk Dr Nor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR– Aktiviti kunjung mengunjung dalam musim perayaan dikenal pasti sebagai punca Kluster Sivagangga dan Kluster Kurau cepat menular.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Sivagangga dan Kluster Kurau merupakan dua kluster yang didapati mencatat pertambahan kes COVID-19 terutamanya selepas musim perayaan.

“Siasatan yang telah dijalankan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan juga saringan ke atas kontak rapat kes, mendapati bahawa penularan jangkitan COVID-19 dalam kedua-dua kluster ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, kes positif kedua-dua kluster ini melibatkan banyak ahli keluarga terutamanya golongan warga emas.

“Kanak-kanak turut termasuk dalam kes-kes positif dalam kluster ini, iaitu dalam lingkungan umur 2 hingga 70 tahun,”katanya.

Beliau berkata, aktiviti kunjung-mengunjung walaupun kini dibenarkan namun masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).

“Penjarakan fizikal yang selamat sekurang-kurangnya satu meter di antara individu sewajarnya diamalkan di semua tempat termasuk di antara ahli keluarga dan sanak saudara.

“Individu yang tidak sihat atau bergejala tidak sepatutnya mengunjungi ataupun menyertai sebarang kenduri-kendara dan perayaan,”katanya.

Dr Noor Hisham berkata, orang ramai telah diwajibkan memakai pelitup muka oleh kerajaan mulai 1 Ogos di tempat-tempat awam yang sempit dan sesak.

“Orang ramai juga digalakkan memakai facemask semasa aktiviti kunjung-mengunjung di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan.

“Begitu juga amalan kebersihan kendiri seperti mencuci tangan dengan air dan sabun.

“Nasihat-nasihat ini sekiranya dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya dengan disiplin yang tinggi, ianya dapat mengelakkan penularan COVID-19 daripada terus berlaku dan menjangkiti orang tersayang,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.