Polis, KDN Digesa Halang Demontrasi Anti Khat dan Jawi

 

KUALA LUMPUR- Polis dan Kementerian Dalam Negeri digesa menghalang demonstrasi bantahan khat dan jawi anjuran pertubuhan Dong Zong pada 28 Disember ini.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir Khairil Nizam berkata, sekiranya demontrasi itu berlangsung, DPPM percaya akan ada satu lagi demonstrasi balas.

“Sudah pasti ia akan mencetuskan perpecahan, malah boleh menjangkau ke rusuhan kaum jika tidak dibendung.

“DPPM mengecam sekeras-kerasnya kebiadapan pertubuhan pelampau Dong Zong meneruskan demonstrasi bantahan tulisan khat dan Jawi pada 28 Disember ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pertubuhan berkenaan menjadi punca perpaduan kaum di Malaysia berpecah belah.

“DPPM dengan tegas menyatakan bahawa Dong Zong adalah sebuah pertubuhan yang biadab, pencetus kekacauan serta pemecah-belah rakyat Malaysia.

“Setelah berbagai pihak, malah kerajaan sendiri menegaskan himpunan tersebut bakal mencetuskan kekacauan, mereka masih bersikap keras kepala, ego dan ingin meneruskan perancangan jahat mereka,”katanya.

Khairil Nizam berkata, pertubuhan berkenaan juga menyemai sikap anti-nasional di kalangan masyarakat Cina.

“Atas kebiadaban pertubuhan pelampau Dong Zong ini serta kedegilan mereka, DPPM menggesa pertubuhan ini agar diharamkan terus dari Malaysia.

“Selagi pertubuhan itu masih bertapak, perpaduan kaum akan terus digugat. Ini telah dibuktikan melalui sejarah penentangan mereka kepada polisi-polisi kerajaan yang bersifat nasional dan membentuk perpaduan,”katanya.

Tambahnya, pertubuhan yang anti-nasional itu harus ditolak oleh seluruh masyarakat demi memastikan keamanan dan keharmonian negara.

” DPPM mengajak seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum agar mengecam pertubuhan pelampau Dong Zong dan tidak menyertai, menyokong serta menyebarkan ideologi melampau mereka,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.