Ayah, demimu aku korbankan..

Azizi mengambil tanggungjawab menjaga ayah yang terlantar sakit

BALING– Seorang anak menangguh pengajian selama setahun demi menjaga ayah yang sakit terlantar akibat strok.

Muhd Azizi Mohamed Zulkifli, 23, dari Kampung Banggol Berangan berkata, dia terpaksa menangguh pengajian di sebuah pondok di Kelantan.

Menurutnya, tanggungjawab itu dipikul selepas ibu Nurul Atikah Chooi Abdulllah,43,dan abangnya mengambil alih tugas ayah bagi menyara keluarga dengan menjual ikan.

“Ayah (Mohamed Zulkifli Mohammed Daud 53) sakit sejak Januari lalu. Jadi saya tangguh dulu pengajian tahun akhir.

“Insha ALLAH jika ayah sihat saya akan sambung pengajian semula,” kata anak kedua daripada tujuh beradik itu.

Azizi yang turut bercita-cita melanjut pengajian di bumi Mesir mempunyai lima adik.

Empat lagi yang berusia 9 hingga 17 tahun masih bersekolah manakala adik ketiganya berusia 20 hanya bekerja sambilan.

Azizi berkata, ayahnya kini hanya bergantung dengan minuman susu melalui bantuan saluran tiub.

“Dia tak boleh makan, nak teguk air pun sakit. Selama sembilan bulan ni memang ayah tak makan,” katanya.

Walaupun Mohamed Zulkifli mendapat bantuan daripada jabatan berkaitan, namun keluarga itu masih mengeluarkan perbelanjaan tambahan.

“Ayah kena minum susu khas. Setin harganya RM90 dan ia hanya bertahan dalam tiga hari. Sehari saja, dia perlu minum empat atau lima kali.

“Selain itu, saluran tiub kencing dan saluran tiub yang berkaitan perlu ditukar dua minggu sekali yang jumlahnya RM150. Ayah juga perlu guna lampin pakai buang,” katanya.

Untuk sumbangan kepada keluarga ini boleh salurkan bantuan melalui nombor akaun Bank Islam (02048020704713) atas nama Nurul Atikah Chooi Abdulllah atau hubungi Azizi di talian 017-8094255.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.